“Aku tobat tak akan jejak kaki dah ke Cameron Highland!”

Percutian sebuah keluarga ke pusat peranginan Cameron Highlands, Pahang meninggalkan seribu satu kenangan pahit buat seorang lelaki apabila dia terpaksa berbelanja tinggi hanya untuk menampung kos penginapan dan makan.

Jelasnya menerusi satu video tular, percutian tiga hari dua malam yang dirancang terpaksa disingkatkan kepada dua hari kerana perbelanjaan yang terlampau mahal perlu ditanggung olehnya sebagai ketua keluarga.

Paling mengecewakan adalah apabila kos makanan di sana dikatakan melampaui batas dan jauh berbeza daripada kebiasaan.

Katanya, hidangan nasi putih, kangkung goreng belacan, telur dadar dan tomyam campur menelan kos RM85 untuk tiga orang.

Situasi tersebut disifatkan terlampau mahal dan berbeza dengan di kawasan kediamannya yang mana dia boleh memesan seekor ikan siakap dengan kos setinggi itu.

Berkongsi cerita di laman media, pemuda terbabit sama sekali kecewa akan sikap segelintir peniaga di Cameron Highlands yang didakwa sengaja mengaut untung lebih daripada pelancong.

“Aku taubat tak akan jejak dah ke Cameron Highlands.

“Jumaat Sabtu aku ke sana sini, dah habis sebanyak RM1,470, aku tak beli apa-apa pun yang lain cuma makan dan penginapan,” katanya.

Menggesa agar masyarakat mahupun golongan peniaga di Cameron Highlands untuk tidak mengambil kesempatan, lelaki itu berharap agar isu terbabit segera diperbaiki supaya orang ramai boleh bercuti dengan kadar yang lebih jimat.

Baca juga: ‘Sedarlah wahai Israel, sedangkan duit syiling ini lebih tua daripada kamu’