Korang jangan ingat kain pelikat cap gajah saja, tepung pun ada. Wanita ini kongsi jenis-jenis tepung beras

Korang jangan ingat kain pelikat cap gajah saja, tepung beras pun ada malah ada 4 jenis semuanya dengan fungsi-fungsinya tersendiri.

Negara kita pastinya cukup terkenal dengan kepelbagaian jenis menu masakan. Daripada masakan hidangan utama sehinggalah untuk hidangan sampingan seperti pencuci mulut atau kuih.

Berbeza dengan masyarakat barat atau timur tengah, negara Malaysia juga terkenal dengan manisannya yang diperbuat daripada pelbagai jenis tepung.

Sebut sahaja tentang tepung beras, pasti sudah terlintas di fikiran tentang pelbagai jenis kuih yang diperbuat daripada tepung beras.

Namun begitu, tidak semua tepung beras sesuai digunakan untuk membuat kuih. Malah, fungsi tepung beras juga ada yang berbeza mengikut cap yang dipamerkan pada kertas pembungkusannya.

Untuk mengetahui berkenaan kegunaan tepung beras dalam masakan tersebut, mari kita ikuti perkongsian daripada pengguna TikTok yang bernama @aintupper ini.

Empat jenis cap tepung beras

Menurut wanita itu, tepung beras mempunyai empat jenis cap yang berbeza dan kebiasaannya anda akan lihat jenis cap gajah.

Cap gajah pulah dibahagikan kepada tiga jenis lagi iaitu cap gajah satu, gajah tiga dan gajah lima.

Satu lagi jenis tepung beras yang berada di pasaran negara kita ialah cap teratai.

Tambah wanita itu, untuk tepung beras gajah tiga, ia sesuai untuk buat kuih muih tradisonal seperti kuih koci, bubur somsom atau tepung pelita.

Tepung beras cap gajah tiga ini akan memberikan hasil yang menarik dan berkilat kepada hidangan yang anda masak.

Untuk tepung beras cap gajah satu pula sesuai untuk membuat goreng-goreng seperi goreng pisang, ubi dan sebagainya.

Jika anda menggunakan tepung beras cap ini untuk membuat gorengan, hasilnya akan membuatkan gorengan anda menjadi rangup dan lebih tahan lama.

Kalau anda nak buat rempeyek pula, tepung beras cap teratai sangat sesuai berbanding dengan tepung beras cap gajah.

Tepung beras cap teratai ini akan membuatkan rempeyek anda menjadi lebih rangup dan rapuh. Tepung beras yang terakhir iaitu cap gajah lima pula sesuai untuk membuat mi laksa atau bihun yang membuatkan mi jadi lebih kental.

Menerusi perkongsian video itu lagi, wanita tersebut juga sempat memesan kepada pengguna untuk melihat label cap tepung beras itu terlebih dahulu sebelum membelinya.

“Ingat pesan cik Ain ni. Waktu korang beli tepung beras tu tengok dulu dan kira berapa ekor gajah ada. Jangan pandai beli je,” pesan wanita itu dalam perkongsian video tersebut.

Diharap dengan perkongsian ini dapat memberikan ilmu bermanfaat yang baharu kepada semua pembaca SK.

Baca juga: Anak menangis teresak-esak kerana trauma, guru buang make-up di depan murid lelaki sambil bebel