Mendedahkan pengalaman sepanjang 10 minggu di The Masked Singer Malaysia musim keempat sebuah pengalaman berharga, Stacy turut menyatakan ia bukanlah cabaran yang mudah buat penyanyi sepertinya.
Menurut kenyataan Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34 tahun, dia pernah mengalami sakit badan dan migrain disebabkan oleh kostum Bunga Matahari tersebut.
“Ada minggu saya mengalami sakit belakang badan dan migrain sebab kostum itu sangat berat. Pernah juga rasa nak pitam ketika berada di atas pentas.
“Sebab itu saya kurangkan pergerakan ketika membuat persembahan. Saya lebih fokus kepada nyanyian sahaja.
“Saya pernah mendukung anak yang beratnya 12 kilogram dan rasanya sama seperti memakai kostum Bunga Matahari itu,” katanya.
Stacy diumumkan sebagai juara pada konsert akhir TMSM4 yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDM, Kuala Lumpur pada malam Ahad.
Meskipun ramai yang menjangkakan bahawa Stacy adalah di sebalik kostum tersebut, namun dia tetap mematuhi peraturan program yang tidak membenarkan peserta mendedahkan identiti mereka.
“Dari awal orang sudah mula ‘serang’ saya di sosial media kerana mereka tahu itu saya.
“Tetapi saya tidak boleh nak menjawab. Mungkin saya gagal untuk kelirukan orang, namun bagi peminat saya anggap ini satu kejayaan kerana sampai ke final.
“Ibu sendiri pun tidak tahu Bunga Matahari itu adalah saya. Sehingga minggu ketiga dia pernah bertanya. Apabila juri meneka nama, saya hanya mampu tergelak di dalam kostum itu,” ujarnya.
Dalam konsert akhir itu, Stacy menyampaikan lagu Cinta nyanyian asal Marsha Milan dan juga Lathi (Genius ft Sara Fajira).
Baca juga: “Dari kecik dibesarkan dengan mak yang biol, sampai kami kena halau dari kampung sebab berbau busuk”