KPDN hanya pantau kurma ‘Made in Israel’, gantung lesen import luar dari bidang kuasa

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau pasaran berkenaan dengan penjualan kurma dari Israel melalui pelbagai akta yang ada di bawahnya, khususnya menerusi Akta Perihal Dagangan 2011.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, menyatakan bahawa pemantauan tersebut dilakukan untuk memeriksa sama ada terdapat penjualan kurma dari Israel di pasaran dan ditawarkan kepada pengguna.

“Kita serta merta memasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan terma rujukan dalam Ops Pantau yang kita lancarkan khas untuk Ramadan dan Aidilfitri ini.

“Ia untuk melihat secara terperinci berkaitan dengan dakwaan penjualan (kurma dari Israel).

“Kita juga berharap kerjasama daripada seluruh masyarakat dan aduan daripada awam dalam platform rasmi yang wujud di KPDN,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dilaporkan telah merampas 73 pek buah kurma ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ yang dikatakan sebagai produk diperbuat di Israel.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, pihaknya tidak mempunyai bidang kuasa untuk mempertimbangkan lesen import terhadap sebarang produk dari Israel.

“Di bawah Perintah Kastam Larangan Mengenai Import 2023 sebagaimana yang terkandung dalam Jadual 2, Bahagian 2, KPDN tidak mempunyai bidang kuasa bagi mempertimbangkan lesen import apa-apa produk daripada Israel. Ini bermaksud di luar bidang kuasa KPDN,” katanya.

Baca juga: Aplikasi Tiktok bakal diharamkan