‘Krimer manis pun disebut susu, tak ada cabai pun panggil sos cili’ – Ini bahayanya jika tak kisah apa yang dimakan

Ramai daripada kita dah macam tidak kisah dengan apa yang dimakan sehingga menganggap krimer manis ada susu dan ada cabai dalam sos cili.

Itu sebabnya trend menu ‘cheese leleh’ menjadi kegilaan sedangkan apa yang dipanggil ‘keju’ itu sebenarnya tiruan.

‘Cheese’ palsu yang ada di pasaran adalah tinggi kandungan garam dan gula selain mengandungi perisa tiruan serta Maltodextrin berbanding keju asli.

Kandungan Maltodextrin itu pula berfungsi meningkatkan tekstur serta jangka hayat makanan.

Masalahnya, ia ada kandungan glycemic index (GI) yang cukup tinggi dan menyebabkan paras gula dalam darah meningkat dengan mendadak.

Ikuti artikel aktivis dan pencinta amalan pertanian mesra alam, MAT SAMAN KATI berkenaan keselamatan makanan yang banyak diabai sebahagian masyarakat kita:

Orang Melayu selalunya obses tentang makanan. Hanya kerana telur ikan, ada emak yang sanggup ditelan batu belah batu bertangkup.

Hanya kerana seulas nangka, Sultan Mahmud mangkat dijulang. Tapi apabila bersangkut dengan kualiti dan khasiat makanan, orang Melayu tidak kisah dengan apa yang dimakan.

Orang yang berniaga barang makanan hanya perlu mematuhi BRRM. (Bau, Rupa, Rasa, Murah).

Ada bau susu, rupa susu, rasa susu dan murah, krimer manis pun kita panggil susu walaupun tidak ada setitik susu pun di dalamnya.

Ada bau cabai, rupa macam cabai, rasa pedas macam cabai dan murah, sos yang tidak ada cabai pun kita panggil sos cili.

Itu sebab apabila orang pesan teh tarik tidak mau gula, saya geleng kepala. Mana ada restoran yang pakai susu dalam teh tarik sekarang ni. Krimer itu pula penuh dengan gula.

Kalau kualiti dan keselamatan makanan itu tidak ada siapa yang peduli, ranking kita dalam Indeks Keselamatan Makanan Antarabangsa atau Global Food Security Index (GFSI) akan jatuh.

Kalau tengok dalam indeks GFSI, Thailand, Vietnam dan China berada di tangga yang di bawah dari kita kerana markah keselamatan makanan mereka rendah walaupun dalam subjek ketersediaan mereka tinggi.

Penggunaan racun serangga dan racun kulat sangat tinggi di China dan Thailand. Malah, ramai petani di Cameron Highlands pun seludup racun dari Siam.

Sambung balik tentang subjek GFSI, subjek ketiga ialah tentang kualiti dan keselamatan makanan. Modul-modul dalam subjek ini adalah:

1. Kepelbagaian makanan

Secara natural, kita di Malaysia ini istimewa sedikit sebab kita ada kepelbagaian bangsa dan budaya, dan secara tidak langsung, kita meraikan kepelbagaian makanan.

Jadi, kita tidak terlalu bergantung kepada satu jenis makanan saja. Kepelbagaian makanan datang dari kepelbagaian tanaman.

2. Piawaian nutrisi

Kalau tengok pada grafik yang disediakan oleh KKM, kita diajar dan diberitahu apa yang kita patut makan.

Cuma yang pelik sedikit, kita diajar makan benda yang kita tidak tanam. Garis panduan makanan ini kali terakhir dikemaskini ialah pada tahun 2010.

Rasanya, kita kena ubahsuai garis panduan ini dan memberi fokus kepada makanan yang dihasilkan dalam negara.

Grafik yang sebut alkohol pun bagus digunakan di Amerika Syarikat (AS). Sebelah bawah dikeluarkan oleh KKM.

National dietary guidelines ini penting kerana ia mencipta persepsi makanan apa yang berkhasiat.

Apabila pakar-pakar nutrisi asyik bercakap tentang kehebatan quinoa, chia seed, orang pun mula import.

Cuba kalau ada pakar nutrisi mencadangkan geduak dan jering sebagai makanan berkhasiat, seronok la sikit orang kampung.

3. Ketersediaan mikronutrien

Vitamin A, zat besi dan zink perlu ada untuk memastikan kita sihat. Banyak negara mengalami nutrient deffeciency ini. Setakat ini kita tiada masalah tapi perubahan iklim akan mendatangkan cabaran terhadap mikronutrien ini.

4. Keselamatan makanan

Mengapa Singapura dapat nombor satu dan kita di nombor 28? Salah satu sebabnya ialah keselamatan makanan mereka tinggi.

Sayur, udang atau ayam yang nak masuk Singapura kena jalani ujian terlebih dahulu. Out sikit saja. Mereka tolak. Yang tolak itu kemudian jual murah di pasar raya kita.

Kita bukan tiada undang-undang, cuma pelaksanaan undang-undang itu sedikit pincang.

Bekalan air bersih juga menjadi faktor utama kalau mahukan peningkatan dalam GFSI.

Alasan yang macam Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah Nik Amar bagi tentang air di Kelantan itu tidak saintifik.

Kalau diterima alasan dia yang orang Kelantan sudah biasa dengan air kotor, mampuih la.

Keupayaan menyimpan makanan. Yang ini tidak semestinya bermaksud peralatan juta-juta.

Orang Asli simpan makanan dalam hutan. Ikan dalam sungai. Bila mahu mereka ambil jumlah yang diperlukan.

Tapi kalau hutan dimusnahkan dan sungai dirosakkan, bermakna kita menjahanamkan tempat penyimpanan makanan mereka.

Akhir sekali, undang-undang untuk memastikan makanan kita selamat dimakan. Kita ada Akta Makanan 1983. Mereka yang terlibat dalam pemprosesan makanan kena ikut undang-undang ini.

Tapi biasalah. Undang-undang adalah untuk mengawal mereka yang baik. Budak jahat mana peduli undang-undang.

Di sinilah peranan penguatkuasaan. Kalau penguatkuasa di sebelah budak baik, makanan kita selamat.

Kalau penguatkuasa pejam sebelah mata dengan budak jahat, susahlah kita.

Habis sudah tiga subjek utama dalam Global Food Security Index. Lepas ini ada kertas tambahan iaitu Sumber Asli dan Ketahanan terhadap bencana alam.

Kertas tambahan ini mula diperkenalkan tahun 2017. Tahun 2016 kita di tangga ke-35 tetapi apabila kertas ini diperkenalkan, kita jatuh ke tangga ke-41.

BACA JUGA Baru tahu Nokia ada 5 produk yang popular selain telefon bimbit, No 2 tu paling tak masuk akal