Krisis Kewangan makin teruk, Air Asia X bakal terkeluar dari senarai bursa Malaysia

Saham AirAsia X Bhd jatuh pada paras terendah dalam tempoh lebih setahun selepas syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu secara rasmi dikategorikan sebagai firma bermasalah kewangan yang memberikan syarikat itu setahun untuk menyusun semula kewangannya atau berisiko kehilangan status penyenaraian di Malaysia.

Sahamnya jatuh sehingga 21.1% kepada 7.5 sen hari ini, iaitu kejatuhan paling teruk sejak Ogos 2020. Saham-sahamnya diniagakan 8 sen pada 10.40 pagi waktu tempatan dengan urus niaga enam kali ganda purata biasa pada waktu itu.

Jumaat lepas, juruaudit AirAsia X, Ernst & Young mengeluarkan pandangan terhadap keputusan kewangan diaudit syarikat penerbangan itu bagi tempoh 18 bulan berakhir Jun 2021, memetik “keraguan luar biasa” mengenai kelangsungannya menjadi kebimbangan, kata syarikat penerbangan itu dalam satu makluman.

AirAsia X berkata, ia mempunyai masa setahun untuk menyusun kewangannya dan jika gagal, akan dikeluarkan daripada penyenaraian Bursa Malaysia.

“AirAsia X terus berdepan kekangan kecairan yang buruk dan diharapkan kejayaan penstrukturan semula hutang serta pembiayaan ekuiti baharu daripada pelabur sedia ada dan baharu dapat menyediakan modal mencukupi bagi memulakan semula operasi apabila sempadan antarabangsa dibuka semula,” kata Public Investment Bank dalam satu nota hari ini.

Firma pembrokeran itu mengekalkan harga saham AirAsia X pada 1 sen.

“Syarikat sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menangani status Nota Amalan 17 (PN17),” kata AirAsia X pada Jumaat.

AirAsia X adalah antara syarikat penerbangan di rantau Asia Pasifik yang terkesan oleh sekatan perjalanan berkait wabak Covid-19.

Ia menghentikan operasi hampir semua angkatan pesawatnya sejak Mac tahun lepas dan menunda bayaran balik kepada pemiutang.

AirAsia X baru-baru ini menawarkan untuk membayar pemiutang hanya 0.5% daripada hutang lebih USD8 bilion dan menamatkan semua kontrak sedia ada dalam usaha penstrukturan semulanya selepas ia berdepan kegagalan membayar hutang bagi pelbagai perjanjian.

AirAsia dijadual bertemu dengan pemiutang untuk mengundi cadangan penstrukturan semula pada 12 Nov.

Ia memerlukan sekurang-kurangnya 75% daripada setiap kelas pemiutang skim dalam pertemuan itu untuk mengundi memihak bagi membolehkan cadangan penstrukturan semula hutang itu dilaksanakan.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/11/01/saham-airasia-x-jatuh-berisiko-hilang-status-penyenaraian-bursa/