Kritik Umno, Ketua Menteri Melaka bidas Azmin semula

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menganggap kritikan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Azmin Ali terhadap parti yang enggan bekerjasama dengan parti itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semata-mata pandangan peribadi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, adalah sesuatu yang normal untuk ahli-ahli politik membuat kenyataan berunsur populis bagi memenangi pilihan raya.

Dalam masa sama, Sulaiman yakin rakyat Melaka bijak menilai dan mampu membuat keputusan atau pilihan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Itu pandangan politik dia (Azmin), terpulang kepada rakyat untuk fikir-fikirkan sama ada betul atau tidak. Saya ada pandangan sendiri and I have no comment (dan saya tiada komen).

“Dalam musim pilihan raya, mereka (ahli politik) akan keluarkan macam-macam cadangan, pandangan, tohmahan, fitnah dan sebagainya (semata-mata) nak menang pilihan raya. (Jadi) terserah masing-masing, tetapi rakyat bijak dan pandai memilih,” katanya lagi.

Sulaiman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan Taman Bukit Beruang di sini, yang dilanda banjir beberapa hari lepas.

Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya PN pada Isnin berkata, rakyat akan membuat keputusan bagi mengadili sikap serta kenyataan pihak yang tidak mahu bekerjasama dengan PN dalam PRN Melaka.

Katanya lagi, niat PN adalah jelas, iaitu hanya menganjurkan perpaduan dan kerjasama demi rakyat dan kepentingan negeri Melaka.

“Itu pilihan mereka (enggan berunding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)). Biarlah rakyat membuat penghakiman tentang sikap dan kenyataan pihak-pihak yang tidak mahu bekerjasama,” katanya lagi.

Mengulas mengenai keputusan Pas untuk bertanding di bawah bendera PN, Sulaiman berkata, itu adalah hak parti tersebut biarpun tindakan itu berkemungkinan akan bercanggah dengan kerjasama yang dimeterai antara Pas dan UMNO melalui Muafakat Nasional.

“Itu saya serahkan keputusan pimpinan (UMNO) di atas. Kita memang ada (persefahaman), Muafakat Nasional itu memang ada. Tetapi setelah diumum Jawatankuasa Pas Pusat nak gunakan bendera PN, itu tujuan dan maksudnya, kita terima,” katanya lagi.

Sualiman berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang menegaskan ketetapan (menggunakan logo PN), mengambil kira panduan yang diberikan Majlis Syura Ulama (MSU) Pas yang bersidang 31 Oktober lalu.

sumber : https://www.astroawani.com/berita-politik/prn-melaka-azmin-kritik-umno-biar-orang-melaka-nilai-sulaiman-328705