Ku Li sah letak jawatan dalam parti

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Jemaah Penasihat Umno.

Dalam sepucuk surat bertarikh 20 Sept, veteran Umno itu berkata, peletakan jawatan itu berkuat kuasa mengikut tarikh surat berkenaan.

“Saya suka juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kerana memberi saya kesempatan memain peranan yang kecil dalam perjalanan parti kita,” katanya dalam surat yang diserahkan kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap kepada FMT, sumber terdekat dengan hal itu mengesahkan surat berkenaan.

Antara kandungan surat berkenaan, Tengku Razaleigh yang dikenali dengan panggilan Ku Li membangkitkan kekecewaannya terhadap Jemaah Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana dibarisi menteri daripada “kerajaan gagal” Muhyiddin Yassin.

“Sudah tentu pimpinan yang dipilih dan anggota kerajaan yang menggantikan kerajaan gagal telah direstui oleh pimpinan Umno walaupun rata-rata orang ramai dan akar umbi parti menzahirkan kekecewaan kerana hampir semua jawatan dipenuhi oleh mereka dari kerajaan gagal.

“Bolehkah mereka ini bantu parti kita tebus kekalahan dalam PRU15 dan akhiri Parlimen yang tergantung? Bolehkah kita bergantung harap kepada mereka ini memberi kemenangan kepada parti dalam PRU15 nanti?,” soal Ku Li.

Perhimpunan Agung Umno 2020 pada Mac lalu sebulat suara meluluskan usul untuk memutuskan sebarang kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Bagaimanapun, Ku Li berkata, usul berkenaan mengambil masa untuk dilaksanakan kerana jika dikuatkuasakan memberi kesan segera dalam pimpinan yang tidak mempunyai sokongan sebagaimana dikehendaki Perlembagaan Persekutuan.

“…dan kerajaan pimpinannya terpaksa meletak jawatan tanpa tunggu pengundian menolaknya di Dewan Rakyat,” katanya.

sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/22/ku-li-letak-jawatan-pengerusi-jemaah-penasihat-umno/