Kuala Lumpur menduduki tangga keenam sebagai bandar raya paling ramai dikunjungi pelancong sepanjang tahun ini dan menewaskan bandar popular iaitu New York dan Seoul.
Fakta ini dikongsikan oleh laman sesawang Travelness berdasarkan Indeks Bandar Destinasi Global, hasil kajian yang dilakukan oleh Mastercard.
Laporan tersebut mengkategorikan bandar dan destinasi pelancongan paling popular di dunia berdasarkan jumlah kedatangan pelawat semalaman antarabangsa dan perbelanjaan lintas sempadan.
Menerusi laporan tersebut, sebanyak 13.79 juta pengunjung dari seluruh dunia melawat Kuala Lumpur sepanjang tahun ini.
Bandar raya New York pula menempatkan diri di tangga ketujuh dengan jumlah 13.6 juta pengunjung, diikuti oleh Istanbul (13.40 juta) dan Tokyo (12.93 juta).
Bagaimanapun, Kuala Lumpur berada satu anak tangga di belakang Singapura yang mencatat jumlah pengunjung sebanyak 14.67 juta.
Di tangga pertama, Bangkok mendahului dengan jumlah 22.78 juta pengunjung, diikuti oleh Paris (19.10 juta pengunjung) dan London (19.09 juta pengunjung).