Kuil Hindu terbesar di Asia Barat ada di negara Arab ini, tujuh menara batu pasir merah jambu menjulang tinggi

Kuil Hindu terbesar di Asia Barat dengan tujuh menara batu pasir merah jambu kini sudah menjulang tinggi di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Perdana Menteri India Narendra Modi sendiri merasmikan BAPS Hindu Mandir seluas 27 ekar dan boleh menempatkan sehingga 10,000 orang itu pada 14 Februari lalu.

Lokasi kuil itu terletak di kawasan yang dulunya merupakan hamparan gurun tandus yang terletak antara Abu Dhabi dan Dubai.

Kompleks Hindu itu menonjol dengan ketara di kawasan kosong Abu Mureikha, yang dikenali sebagai tempat di mana seluruh emiriah mencapai persetujuan untuk mempunyai pasukan tentera bersatu pada tahun 1976.

Berdiri pada ketinggian 33 meter (m), 80m panjang, dan 55m lebar, kuil itu dibina tidak jauh dari lebuh raya utama yang menghubungkan Dubai dan Abu Dhabi.

Diperbuat daripada batu pasir yang diimport dari negeri Rajasthan, India, marmar Itali berkilauan di lantai.

BAPS Hindu Mandir mencuri tumpuan dunia memandangkan Islam adalah agama rasmi di UAE yang merupakan salah satu daripada beberapa negara Arab mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel.

Bochasanwasi Shri Akshar Purushottam Swaminarayan Sanstha (BAPS) merupakan organisasi keagamaan dan awam global mazhab Swaminarayan.

Pembinaan kuil itu menandakan sejauh mana UAE mengiktiraf perbezaan fahaman yang dipegang oleh komuniti ekspatriatnya.

Diaspora India yang memacu ekonomi dan pembangunan UAE telah lama menguasai komuniti ekspatriat di negara itu.

Kuil tersebut mempunyai tujuh menara, sama dengan bilangan monarki dalam persekutuan yang membentuk UAE.

Dalam masa sama, kehadiran kuil dengan tujuh menara mengandungi patung pelbagai tuhan di UAE itu berlaku ketika rakyat India yang beragama Islam berdepan penindasan akibat dasar nasionalis Parti Bharatiya Janata Hindu.

Sejak Modi memegang jawatan Perdana Menteri pada 2014, gesaan agar negara demokrasi terbesar di dunia itu supaya mengekalkan ketuanan Hindu semakin kuat.

Modi telah mencipta imej dirinya sebagai “pelindung agama Hindu,” kata penganalisis politik yang berpangkalan di New Delhi, Asim Ali, dan kini membawa mesej itu melangkaui sempadan India, memetik CNN.

Sementara itu, minoriti Islam di India yang berjumlah kira-kira 210 juta orang semakin bimbang mengenai masa depan mereka.

Kumpulan Hindu sayap kanan yang berkuasa menuntut beberapa tapak masjid yang dikatakan mereka dibina di atas kuil purba semasa pemerintahan Moghul.

Januari lalu, Modi mengetuai upacara perasmian besar-besaran di bandar Ayodhya berdekatan untuk sebuah kuil Hindu yang dibina di atas perkarangan yang pernah menjadi tapak kepada Masjid Babri yang berusia berabad-abad.

Penganut agama Hindu merobohkan Masjid Babri pada 1992 dalam kempen yang diterajui oleh ahli parti Modi.

Ekoran perobohan itu, rusuhan yang tercetus membunuh 2,000 orang di seluruh negara, kebanyakannya beragama Islam.

Pertikaian mahkamah selama beberapa dekad yang berlaku mengenai masa depan tapak Babri berakhir pada 2019.

Mahkamah tertinggi India membenarkan pembinaan kuil kepada dewa Ram, yang menurut kitab suci Hindu dilahirkan di bandar itu.

Masjid Gyanvapi di bandar Varanasi utara India ini wujud sejak abad ke-17.

Pada 1 Februari lalu, penganut Hindu sudah mula beribadat di dalam Masjid Gyanvapi yang dipertikaikan di bandar Varanasi, India.

Ahli keluarga sami Hindu mula beribadat di ruang bawah tanah masjid yang telah dibina pada abad ke-17 ketika empayar Moghul Muslim,

Mahkamah Varanasi memutuskan penganut Hindu boleh beribadat di ruang bawah tanah bangunan itu.

Malah, mahkaamah mengarahkan pihak berkuasa untuk ‘membuat pengaturan sewajarnya’ untuk penganut dalam tempoh seminggu.

Masjid Gyanvapi di bandar suci Varanasi adalah salah satu daripada beberapa rumah ibadat Islam yang dicari oleh aktivis Hindu, yang disokong oleh parti Modi, selama beberapa dekad untuk menuntutnya semula.

Penganut Hindu percaya masjid itu dibina di atas kuil kepada dewa Hindu Shiva.

Bulan lalu, agensi arkeologi rasmi India, memaklumkan tinjauan tapak itu tambah menguatkan kepercayaan bahawa ia pada asalnya adalah rumah kepada sebuah kuil, menurut laporan berita tempatan.

BACA JUGA “Family mertua sedap je buat homestay aku macam harta sendiri, bila aku suruh bayar bil api air buat dekk je semua”