Kurma mentega tingkat kolesterol jahat, pakar dietetik ini perjelas mengapa sesuai makan waktu sahur saja

Juadaah kurma mentega yang dikongsikan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebenarnya boleh menyebabkan aras kolesterol jahat meningkat.

Pakar dietetik, Nur Aiman Taslim berkata, kurma yang dicampur mentega boleh dimakan ketika bersahur, namun tidak digalakkan diambil secara berlebihan.

Menurutnya, cukup hanya makan tiga hingga empat biji kurma dengan satu sudu teh kecil (mentega) sahaja bagi setiap biji kurma yang dimakan.

“Ia akan bekalkan sebanyak 224 kalori dengan pecahan anggaran 70 hingga 80 kalori untuk empat biji kurma dan 110 hingga 145 kalori untuk empat sudu teh mentega.

“Namun begitu, pengambilan secara berlebihan boleh menyebabkan aras kolesterol jahat meningkat dan secara tidak langsung meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular,” jelasnya, lapor Kosmo.

Beliau berkata, jika hendak bersahur dengan makanan yang ringkas dan padat dengan kalori untuk berpuasa, tidak menjadi masalah untuk menjamah kurma dengan mentega dalam kuantiti tidak berlebihan.

“Namun, ketika berbuka puasa, memadai memakan buah kurma sahaja tanpa perlu ada mentega memandangkan lauk-lauk dan juadah lain sudah mengandungi sumber kalori yang cukup,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Dr. Zulkifli berkata, tamar atau kurma kering dengan mentega merupakan makanan kegemaran Rasullullah SAW.

Rata-rata warga maya mengakui letak kurma dengan mentega memang sedap tetapi bagi penghidap sakit buah pinggang dinasihatkan tidak memakannya.

Ada yang mengingatkan kombinasi kurma dan mentega itu tidak baik untuk kesihatan.

“Mentega yang sedemikian kuantiti, kolesterol pun akan naik jugak tuan haji. Tak bagus tau.

“Yang ada sakit buah pinggang, elakkan makan.

“Dah jadi promoter produk ye sekarang,” demikian antara komentar warganet.

Terdapat juga yang meminta penjelasan Dr Zulkifli mengenai jenis mentega yang disediakan mengikut Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah itu.

“Soalan jujur, saya lebih suka nak tau mentega apa yang diberikan kepada Rasullullah SAW ketika itu?” tanya pengguna X, @army4769 pula.

Mulai hari ini, kira-kira 20 juta umat Islam di negara ini atau 61.3 peratus rakyat Malaysia akan mula menjalani ibadat puasa sepanjang bulan Ramadan.

BACA JUGA Pakcik naikkan kelah merah bernilai RM6,000! Mula-mula macam tak percaya…