Lagi berita gembira! Google labur AS$2 bilion, bakal bina wilayah Google Cloud pertama di Malaysia

Syarikat gergasi dunia, Google menyatakan kesediaannya untuk melabur sebanyak RM9.4 bilion (AS$2 bilion) untuk membina pusat data pertama Google Cloud di negara ini.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut menyatakan pelaburan Google itu akan menyediakan 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai wilayah di Malaysia yang merangkumi penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion).

Menurut MITI, bandar yang bakal dibina iaitu Google Cloud akan disertai dengan 40 wilayah dan 121 zon yang bakal beroperasi di seluruh dunia untuk memenuhi permintaan yang semakin mencanak terhadap program celik AI(kecerdasan buatan) yang bakal dimanfaatkan oleh pelajar dan juga pendidik di negara ini.

“Komitmen terbaharu oleh sebuah lagi gergasi teknologi global kepada Malaysia ini menjadi pencapaian penting dalam visi kerajaan MADANI untuk menarik lebih ramai pelabur digital ke negara ini, bagi membantu membina ekonomi yang dikuasakan oleh digital yang kukuh dan selamat.

“Peningkatan kapasiti dan kebolehpercayaan pada perkhidmatan awan akan menyokong pelbagai sektor termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan untuk mewujudkan dunia yang lebih terhubung dan berdaya tahan,” kata kenyataan itu.

Pengumuman MITI mengenai komitmen terbaru Google dibuat selepas beberapa siri libat urus oleh kementerian tersebut yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan serta Ketua Pegawai Kewangan Alphabet dan Google, Ruth Porat.

Baca juga: Anak Tun M didakwa enggan isytihar harta, terkejut tahu amaran keras SPRM