Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 4 petang ini bagi mencadangkan keputusan Jemaah Menteri untuk menguatkuasakan perintah darurat.
Lapor The Malaysian Insight yang memetik sumber, Kabinet telah memutuskan menyokong pengisytiharan perintah darurat namun masih membincangkan istilah bagi menggantikan perkataan ‘darurat’ agar tidak menimbulkan panik.
“Nampaknya keputusan sudah dicapai.
“Mereka hanya perlu mengemas semula perkataan ‘darurat’ agar orang ramai tidak panik. Mereka tidak akan menyebutnya ‘darurat’ tetapi akan memberikannya nama baru. Sesuatu untuk Covid-19,” kata sumber lain yang maklum berkenaan mesyuarat khas Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.
Akhir-akhir ini, Muhyiddin mengalami tekanan politik apabila Umno mengugut untuk menarik sokongannya terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beberapa agensi berita juga mula melaporkan berhubung perintah darurat yang didakwa akan dilaksanakan ekoran bimbang pembentangan Belanjawan tidak akan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
Sekiranya belanjawan ditolak pada November ini, Muhyiddin wajib untuk menasihati Agong agar membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihanraya.
Segala proses politik dan sidang Parlimen pula akan ditangguhkan sekiranya Yang di-Pertuan Agong mengisytihar darurat.