Lembaga Siasatan mengenai dua helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, yang mengakibatkan kehilangan sepuluh nyawa pada 23 April lalu, hari ini mendedahkan lima fakta utama dalam laporan awal berkaitan dengan tragedi tersebut.
Laporan awal dari TLDM menyatakan kesemua kru yang terlibat dalam insiden malang tersebut dalam keadaan kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat (fit to fly), dan kelayakan penerbangan kru udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.
“Fakta kedua, dua helikopter itu disahkan berada dalam keadaan airworthy (selamat untuk terbang) semasa hari kejadian.
“Ketiga, kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak Original Equipment manufacturer (OEM).
“Keempat, keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan
“Kelima, pesawat HOM AW139 mempunyai kotak hitam, manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada tahun 2003 (21 tahun) tidak dilengkapi dengan peralatan berkenaan,” kata TLDM dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas mengenai kotak hitam, TLDM turut mendedahkan data yang dianalisis daripada Multi Purpose Flight Data Recorder (black box) pesawat HOM AW139 diterima daripada pihak OEM, pada 3 Mei lalu untuk penilaian lanjut oleh Lembaga Siasatan.
Baca juga: Sultan Selangor kecewa MFL teruskan perlawanan- “Keutamaan kini bukanlah untuk menang”