Datuk Seri Anwar Ibrahim difahamkan sudah berjaya dalam rundingan politik dengan Parti Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal untuk menyokongnya sebagai Perdana Menteri (PM) baharu, bagaimanapun masih menunggu persetujuan dengan 15 Ahli Parlimen (PM) kem Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Pembangkang tersebut memerlukan sokongan 15 MP yang sebelum ini juga menjadi punca kejatuhan dan kehilangan majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mencukupkan majoritinya untuk menjadi PM ke-9.
Rundingan dengan 15 MP tersebut mungkin dilakukan menerusi perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) yang sebelum ini pernah dicadangkan antara kerajaan PN dengan blok pembangkang sebelum ini.
Menurut sumber, rundingan dengan 15 MP tersebut masih berlangsung dan setakat ini belum menerima sebarang kata putus daripada Presiden UMNO, Zahid.
Sekiranya rundingan tersebut berjaya, peluang Anwar untuk menjadi PM baharu cerah namun ia berisiko akan menerima tentangan daripada rakan sekutunya, DAP yang menolak kumpulan kleptokrat diketuai Zahid tersebut.
Anwar setakat ini mempunyai sokongan 91 MP yang berada dalam gabungan blok pembangkang, Pakatan Harapan dan jika ditambah 8 MP dari Warisan ia menjadikan keseluruhan 99 MP yang menyokongnya.
Ia bagaimanapun masih tidak mencukupi dan hanya dengan sokongan tambahan 15 MP dari UMNO, beliau akan memiliki majoriti yang diharapkannya.
Anwar mempunyai sokongan 91 kerusi, Zahid mendapat dukungan 15 MP UMNO, manakala kem Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Datuk Seri Shafie Apdal (8 MP) dikatakan mempunyai 14 kerusi. Ketiga-tiga kumpulan ini tidak menyokong antara satu sama lain.
Ketika ini, masih samar-samar individu yang memiliki majoriti terbesar untuk dilantik sebagai PM baharu.
Anwar kini juga sedang merayu supaya semua parti-parti dalam blok tersebut menyokongnya sebagai calon PM baharu, namun majoriti dimilikinya menjadi pertikaian.
Untuk rekod, UMNO dan BN memiliki 42 MP dan kini terpecah kepada dua kumpulan besar yang menyokong Zahid dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Muhyiddin menyerahkan surat peletakan jawatannya semalam kepada Yang di-Pertuan Agong dan kini terserah kepada Seri Paduka untuk melantik PM baharu.
sumber : https://www.agendadaily.com/politik/anwar-berjaya-runding-dengan-warisan-tunggu-persetujuan-kem-zahid-sokong/