Larikan barang kemas RM35,000 selepas pura-pura berminat beli emas, lelaki positif dadah ditahan

  • Post author:

Larikan barang kemas RM35,000 selepas pura-pura berminat beli emas, lelaki positif dadah ditahan. Seorang lelaki nekad melarikan dua utas rantai tangan dan seutas rantai leher di kedai emas di Jalan Mahkota.

Bagaimanapun lelaki berusia 45 tahun itu berjaya ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada 5 petang semalam lapor Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku 4.30 petang ketika pemilik kedai emas iaitu wanita berusia 50 tahun dan tiga pekerjanya didatangi suspek.

“Pemilik yang menyedari kejadian menjerit meminta tolong namun suspek melarikan diri dengan menaiki Proton Iswara Aeroback yang diletakkan kira-kira 50 meter dari kedai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota JSJ IPK Perak berjaya menangkap lelaki terbabit di kawasan perumahan Jalan Lapangan Siber, Bandar Cyber di Ipoh.

“Polis turut merampas barang kes yang dilaporkan hilang,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes dadah.

“Ujian awal saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan dia direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan,” katanya.

Baca Juga: Warga emas ditemui mati dalam rumah berkunci

Baca Juga: Gaji RM3000, belia Malaysia kurang minat anggap kerja tebar roti canai untuk warga asing