Laungan Azan diperlahankan di Arab Saudi

Kakitangan masjid di Arab Saudi diminta untuk mengehadkan kegunaan pembesar suara di luar bangunan, hanya untuk azan dan iqamat.

Arahan itu dikeluarkan oleh Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Akidah Arab Saudi, Sheikh Dr Abdullatif Abdulaziz menerusi satu pekeliling pada Ahad, lapor Saudi Gazette.

Pekeliling itu dikeluarkan untuk semua cawangan kementeriannya.

Menurut pekeliling berkenaan, tahap bunyi tidak boleh melepasi satu pertiga daripada tahap penuh pada pembesar suara berkenaan.

Kementerian juga akan mengambil tindakan terhadap mereka yang ingkar pekeliling berkenaan.

Pekeliling itu susulan kementerian mengesan ada pihak yang menggunakan pembesar suara di luar bangunan ketika menunaikan solat.

Ini memberi kesan kepada pesakit, warga tua, dan kanak-kanak yang tinggal berhampiran masjid.

Selain itu, ia bagi mengelak gangguan dan kekeliruan dalam kalangan jemaah di dalam masjid dan penduduk di kawasan berhampiran terutama dari segi bacaan dan rukun.

Berdasarkan pekeliling itu, arahan itu dikeluarkan berdasarkan syariah, hukum fiqah dan pandangan ulama.

Antara alasannya, suara imam perlu didengari oleh semua orang di dalam masjid, dan tidak perlu untuk suara imam didengari di rumah di kawasan sekitarnya.

Selain itu, ia bagi menghormati al-Quran kerana apabila ia dibaca didengar dengan kuat menerusi pembesar suara, mungkin orang tidak mendengar atau menghayatinya.

Pekeliling itu juga selari dengan fatwa ulama’, Allahyarham Sheikh Muhammad Saleh Al-Othaimeen bahawa pembesar suara tidak perlu digunakan kecuali untuk azan dan iqamat.

Selain itu, ia berdasarkan fatwa daripada beberapa ulama’ Islam termasuk ahli Majlis Ulama Kanan dan ahli Jawatankuasa Tetap, Dr Saleh Al-Fowzan.