Lawat Kota Al Ula makruh, tapi elok pergi tempat-tempat suci seperti masjid

Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus menyifatkan hukum melawat ke tempat yang pernah dilaknat Allah SWT seperti Kota Al Ular adalah makruh.

Sebagai umat Islam kita perlu menjauhi tempat berkenaan atau sekadar melawat kawasan itu untuk mengambil pengajaran terhadap sesuatu sebab di atas azab Allah SWT.

“Sebagai contoh melawat bumi kaum ‘ad, kaum Luth ialah makruh menurut pandangan ulama dan apabila kita masuk ke tempat itu, hendaklah kita masuk dalam keadaan rasa insaf dan takut kepada kemurkaan Allah SWT.

“Kita perlu ingat, inilah kebatilan yang telah dilakukan oleh umat yang terdahulu. Bukan kita ambil keberkatan tempat itu seperti di tempat kaum ‘ad, jangan pula diambil pasirnya kemudian letak di kepala anak contohnya.

“Perbuatan itu salah, jadi jangan ambil keberkatan di situ,” katanya di dalam sebuah ceramah.

Ustaz Azhar berkata, sebaiknya umat Islam pergi di tempat-tempat yang elok seperti ke masjid, tempat-tempat yang suci.

“Itu yang terbaik. Ada yang pergi di laut mati, tempat yang dilaknat oleh Allah SWT, dia mandi di situ untuk ambil berkat air itu.

“Sedangkan ulama menyebut air yang berkat ialah air zam zam, Sungai Nil. Di situ boleh ambil keberkatan,” jelasnya.

Umat Nabi Luth AS dihancurkan kerana mereka melakukan perbuatan yang sangat dimurkai oleh Allah SWT iaitu melakukan hubungan seksual dengan sesama jenis atau homoseksual.

Walapun sudah diingatkan oleh Nabi Luth AS, namun umatnya tidak mahu menuruti perintah Allah SWT hinggakan ditimpa azab yang sangat pedih.

Berdasarkan penerangan cendekiawan Islam, umat Nabi Luth AS adakah di Kota Sodom iaitu di daerah yang sekarang dikenali dengan nama Laut Mati, di sempadan antara Israel dan Jordan.

Laut Mati memiliki kandungan garam yang tertinggi dari seluruh laut di dunia dan ia dinamakan Laut Mati kerana tidak ada bentuk kehidupan yang dapat bertahan dalam air garam ini.

Berdasarkan ahli arkeologi pula, mereka menyatakan sekitar 1,800 hingga 2,350 Sebelum Masihi, terdapat kehidupan di tempat berkenaan dan kehidupan itu mati akibat gempa bumi dan ditimpa dengan batu-batu.

Terdahulu, seorang selebriti tempatan menerima kecaman ramai apabila melawat Kota Al Ula baru-baru ini.

Al Ula terkenal sebagai tempat turunnya azab Allah SWT kepada kaum Nabi Saleh.

Bahkan, ketika hayat Rasulullah SAW, baginda mengelak daripada singgah di lokasi digelar kota hantu atau kota terkutuk itu. – KOSMO!

Untuk itu, jika kita mengunjungi lokasi yang pernah diazabkan oleh Allah SWT, hendaklah kita merasa gementar serta menangis kerana azab Allah SWT itu sangat pedih serta mengambil iktibar terhadap peristiwa yang pernah diberitakan kepada kita melalui Hadis Baginda Nabi SAW serta ayat suci al-Quran.

Janganlah kita bersuka ria melawat tempat berkenaan kerana itu perbuatan yang tidak disukai oleh Nabi SAW.

Baca juga: Anak mangsa kemalangan Abdur Rahman sudah ada akaun TikTok-‘Terima kasih sayang korang’