Lebih 5,000 Volkswagen, Porsche, Bentley bernilai hampir RM2b karam bersama kapal kargo

Sebuah kapal kargo besar yang membawa ribuan kereta mewah di dalamnya dilaporkan telah tenggelam kira-kira 250 batu dari kepulauan Portugal selepas beberapa minggu terbakar.

Memetik laporan The Washington Post, kapal yang dikenali sebagai Felicity Ace itu membawa hampir 4,000 kenderaan dan tenggelam berhampiran Kepulauan Azores kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan, pada Selasa.

Tentera Laut Portugal dalam satu kenyataan telah mengesahkan kejadian tersebut.

“Pagi ini, semasa proses menunda (yang telah bermula pada 24 Februari), kapal ‘Felicity Ace’ hilang kestabilan dan tenggelam kira-kira 25 batu nautika di luar had zon ekonomi eksklusif Portugal, di kawasan dengan kedalaman kira-kira 9,842 kaki,” kata tentera laut dipetik Siakapkeli.

Kapal sepanjang 650 kaki yang dikendalikan oleh syarikat perkapalan Jepun Mitsui OSK Lines (MOL) itu dalam perjalanan dari Jerman ke Rhode Island apabila kebakaran bermula di kapal itu pada 16 Februari.

4,000 Volkswagen, 1,100 Porsche, 200 Bentley bernilai RM1.8b tenggelam bersama kapal kargo
1,100 biji kereta Porsche antara yang tenggelam bersama kapal kargo

Difahamkan, pihak berkuasa telah cuba memadamkan api, menyelamatkan 22 orang anak kapal dan tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan berlaku.

Bagaimanapun, punca kebakaran masih belum diketahui.

“Ketika pasukan penyelamat cuba menaiki kapal itu, mereka terpaksa berhadapan dengan cuaca buruk.

“Tetapi kita tidak boleh mengatakan bahawa kapal itu tenggelam kerana berkaitan dengan cuaca,” kata jurucakap Pengurusan Kapal MOL, Pat Adamson.

Kapal kargo yang terbakar itu telah mencetuskan kebimbangan mengenai potensi kerosakan alam sekitar kepada ekosistem Azores.

Sementara itu, hampir 4,000 kereta Volkswagen Group, 1, 100 Porsche dan 200 Bentley berada di atas kapal itu.

Analisis yang dilakukan oleh sebuah syarikat pengurusan risiko yang berpangkalan di Britain, Rusell Group menganggarkan bahawa jumlah nilai barang di atas kapal itu adalah kira-kira $438 juta (RM1.8 bilion) dan $400 juta (RM1.6 bilion) daripadanya adalah kenderaan.