Tiga pegawai serta seorang Pembantu Penguasa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan penggunaan dadah yang dilakukan mereka pada akhir bulan lalu.
Tertuduh, Norazmi Mohd Rashid, 40, Mohd Ruduan Yahya @ Yahaya, 43, Salehudin Idres, 43, dan Mohamad Safiq Basman, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, kesemua pegawai dituduh menggunakan dadah jenis amphetamin, methylenedioxy, amphetamine, dan methylenedioxymethamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat antara pukul 6.40 hingga 7 pagi pada 28 April lalu.
Pendakwaan diajukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, jika tertuduh disabitkan kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Mohd Sharip, sementara tertuduh diwakili oleh peguam-penguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias dan Naziha Abdul Rahim.
Pihak pendakwaan memohon agar setiap tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM10,000, tetapi peguam bela merayu agar jumlah tersebut dikurangkan kepada antara RM2,000 hingga RM2,500, berdasarkan kepada gaji, tanggungan, dan komitmen yang ditanggung oleh anak guam mereka.
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan untuk membenarkan wang ikat jamin sejumlah RM2,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Baca juga: Gelombang panas punca ramai diserang strok haba, Terengganu adakan solat sunat Istisqa