Rumah adalah aset yang sangat berharga untuk kita. Nilainya boleh jadi terus naik jika betul pada caranya. Kedudukan, suasana, jarak mainkan peranan penting untuk kenaikan harga nilai sesebuah rumah.
Namun tidak bagi pemilik rumah ini. Nilai rumahnya jauh merudum akibat content creator yang memburukkan rumahnya.
Konten seram antara yang paling disukai oleh masyarakat di laman sosial tiktok ataupun youtube. Konten sejenis seram ini mampu menarik perhatian orang awam untuk menonton video lebih lama.
Namun nasib malang menimpa tuan rumah ini apabila rumahnya menjadi sasaran konten orang awam yang tidak bertanggungjawab menjadikan rumahnya untuk dijual sebagai sasaran seram.
Individu yang hanya dikenali sebagai AH berkata, kandungan laman sosial itu mendatangkan kerugian kepada mereka kerana rumah tersebut kini berada dalam proses penjualan.
Gara-gara konten sebegitu, hartanah itu tidak laku dijual bahkan beberapa calon pembeli yang berminat juga pilih menarik diri di saat akhir.
“Lapan calon pembeli menarik diri disebabkan kandungan-kandungan seram mengenai rumah itu,” katanya.
Tambah AH, kediaman itu kosong sejak enam bulan lalu dan masih terdapat banyak barangan berharga di dalamnya.
“Namun, keadaan dalam rumah bersepah. Ada juga sisa barangan yang rosak dan pecah.
“Banyak barangan hilang seperti sembilan unit penyaman udara, perhiasan diperbuat daripada emas 28 gram dan televisyen. Kami tidak tahu siapa yang mencurinya,” jelasnya lagi.
Tambah AH, sepanduk yang bertulis ‘Untuk dijual’ di luar pagar rumah juga dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Penghasil kandungan masuk ke rumah itu melalui tingkap. Dalam video yang mereka rakam ada buktinya,” ujarnya.
Tidak hanya barangan habis dicuri, dia turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan individu terbabit yang memaparkan dokumen-dokumen peribadi milik keluarganya dalam video yang dimuat naik.
“Gambar-gambar bapa saya juga dipaparkan, perhiasan rumah turut ditayang. Mereka juga membuat cerita palsu yang mengatakan bahawa rumah itu sudah ditinggalkan 10 tahun dan milik orang kaya Arab,” katanya,
Sementara itu, ketua polis tempatan, Komisioner Polis Andika Dharma Sena mengesahkan sudah menerima laporan berhubung perkara itu dan dalam proses menyiasat kes tersebut.