Satu rakaman video memaparkan penangkapan seorang lelaki yang dipercayai telah mengintai seorang wanita, tular di media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya, lelaki berkenaan sanggup memakai tudung untuk menyamar sebagai wanita ketika melakukan perbuatan mengintai di dalam tandas di sebuah pasar raya.
Berkelakuan tidak senonoh, lelaki yang memakai inai di jari kaki itu kemudian dicekup oleh orang awam di pasar raya terletak di Taman Dahlia, Pasir Gudang, Johor.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform X (Twitter) itu, suspek ditahan oleh beberapa orang lelaki dan kedengaran juga suara wanita meminta kata laluan.
Difahamkan, wanita berkenaan mahu memeriksa telefon bimbit milik suspek yang dipercayai merakam video ketika mangsa mengguna tandas di pasar raya tersebut.
“Sebut kata laluan kau sekarang! Kau jangan tipu, aku rembat kau nanti! Tahu kau malu, tadi masa kau masuk tandas perempuan tak malu pula?,” soal wanita itu.
Berdasarkan ciapan yang ditulis penyebar video, suspek yang sanggup memakai tudung semata-mata untuk mengintai itu dikatakan sudah mendirikan rumah tangga.
Susulan daripada penularan video tersebut, pihak polis kemudian memaklumkan bahawa suspek yang berusia 23 tahun itu telah ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi, sebelum suspek diserahkan orang awam kepada pihak polis.
Permohonan reman ke atas suspek juga akan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Johor Bahru hari ini, untuk siasatan lanjut, lapor Harian Metro.
“Hasil semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
“Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar norma kehidupan dan undang-undang negara.
“Sebarang maklumat kejadian hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.” Kata Mohd Sohaimi Ishak memetik laporan Harian Metro.
Baca juga: “Suami ceraikan aku sebab ada skandal lagi muda, aku balas dendam kahwin dengan bapa mertua dia”