Lelaki di usir dari Bali selepas menari bogel di gunung suci. Pelakon Kanada yang mengaku sebagai jurulatih kesihatan diusir dari Pulau Bali selepas video itu tular.
Jeffrey Craigen menyiarkan video dirinya melakukan Haka – tarian upacara dalam budaya Maori New Zealand – sambil berbogel di atas Gunung Batur, gunung berapi yang dianggap suci oleh kebanyakan orang Bali.
Memetik laporan FMT, lelaki itu ditahan dan disoal siasat semalam selepas banyak aduan diterima daripada pengguna media sosial yang menuduhnya tidak menghormati nilai agama Bali.
Craigen kini sedang menunggu untuk diusir namun pihak berkuasa berkata syarikat penerbangan enggan membantu kerana lelaki itu belum menerima vaksin Covid-19.
“Syarikat penerbangan tidak bersetuju (untuk membawanya),” kata Ketua Pejabat Imigresen Denpasar, Tedy Riyandi kepada AFP, hari ini.
“Lelaki itu turut dimasukkan dalam senarai hitam kemasukan ke Bali untuk masa hadapan,” kata ketua pejabat imigresen Bali, Jamaruli Manihuruk.
Craigen berada di Indonesia sejak akhir 2019 yang tiba di Bali sebagai pelancong dan kemudiannya terbabit dengan kajian rawatan alternatif untuk osteoporosis.
Craigen mendakwa beliau tidak tahu gunung itu adalah tapak suci.
“Kepada semua warga asing yang melawat Bali, sila bertindak sewajarnya dengan menghormati undang-undang kami dan nilai budaya Bali,” kata Manihuruk.
Bali tidak asing dengan pelancong yang berkelakuan pelik. Tahun lalu, hampir 200 orang dihantar pulang dari pulau itu, sebahagian daripada mereka kerana melanggar protokol Covid-19.
Pada 2019, sepasang suami isteri warga Czech dikecam selepas video menunjukkan wanita itu ketawa di kuil Bali, manakala pasangannya menyimbah bahagian belakangnya dengan air suci.
Mereka dikehendaki mengambil bahagian dalam upacara penyucian yang diketuai oleh seorang pendeta Hindu.
Pelancongan di Bali lumpuh akibat wabak itu sejak dua tahun lalu, namun kini telah mula pulih selepas pulau itu membatalkan kuarantin untuk pelancong yang diberi vaksin dan memperkenalkan semula visa semasa ketibaan untuk warga negara dari beberapa negara.
Diharapkan ketika melancong, hormatilah tempat yang dituju dan tidak perlu melakukan video atas tujuan untuk popular sahaja dengan benda bodoh.
Baca Juga: Wanita kena Covid dua kali dalam tempoh 20 hari
Baca Juga: Jangan lemah semangat, laksana tugas selaras dengan prinsip undang-undang, kata Ketua Hakim Negara