Lelaki didenda RM16,456 kerana beri makan roti kepada burung merpati

Seorang lelaki yang sebelum ini didenda oleh mahkamah kerana memberi makan kepada burung merpati sekali lagi disaman atas kesalahan serupa.

Dia mencampak kepingan roti di atas kaki lima dan kawasan berumput, dan walaupun diberitahu bahawa memberi makan kepada hidupan liar tanpa kebenaran bertulis adalah satu kesalahan, lelaki itu terus berbuat demikian sebanyak 15 kali.

Warga Singapura, V Rajandran, 67 tahun, didenda S$4,800 oleh makhamah pada Jumaat (21 Jul) atas empat tuduhan di bawah Akta Hidupan Liar. 12 lagi tuduhan turut diambil kira.

Rajandran membayar denda sepenuhnya. Jika dia tidak membayar denda itu, dia mesti menjalani hukuman penjara selama 16 hari sebagai ganti.

Mahkamah diberitahu bahawa pegawai penguat kuasa melihat Rajandran di sekitar Aljunied Crescent pada pagi 26 Ogos 2022.

Rajandran sedang memberi makan kepada burung dengan mencampakkan hirisan roti di atas kaki lima dan kawasan berumput.

Meskipun sudah diberitahu oleh para pegawai bahawa ia adalah satu kesalahan, dia tetap memberi makan kepada burung-burung itu sebanyak lagi 15 kali, dengan yang kali terakhir pada Disember 2022.

Dia akan membeli roti antara S$20 hingga S$30, atau membawa nasi daripada sisa makanannya untuk memberi makan kepada burung-burung di kawasan Geylang.

Walaupun sudah berkali-kali disuruh menghentikan perbuatan itu oleh para pegawai penguat kuasa, Rajandran masih memberi makan kepada burung-burung itu.

Mahkamah diberitahu bahawa Rajandran didenda S$450 pada Februari 2018 kerana melanggar Peraturan Haiwan dan Burung (Burung Merpati). Pada Januari 2020, dia didenda lagi S$500 kerana memberi makan kepada merpati liar.

Pendakwa raya dari Lembaga Taman Negara (NParks) mengusulkan denda antara S$4,800 hingga S$5,600 dikenakan terhadap Rajandran, sambil menarik perhatian bahawa dia pernah didapati bersalah sebelum ini dan berdepan dengan 16 tuduhan secara keseluruhannya.

Dia baru sahaja didenda S$3,700 pada Jumaat kerana membuang sampah sembarangan, kata pendakwa raya. Rajandran tidak diwakili peguam.

Apabila ditanya sama ada dia mempunyai apa-apa untuk dikatakan, dia setakat berkata: “Tiada apa-apa untuk dikatakan.”

Kesalahan memberi makan kepada hidupan liar dengan sengaja boleh didenda sehingga S$5,000 bagi pesalah kali pertama. Pesalah berulang berdepan denda sehingga S$10,000.

Akta Hidupan Liar mentakrifkan hidupan liar sebagai “haiwan yang tergolong dalam spesies hidupan liar, termasuk anak atau telur haiwan itu”.

Dalam surat yang diterbitkan pada Mac tahun ini sebagai respons kepada surat di Lianhe Zaobao, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan NParks menyatakan bahawa burung merpati batu bukan asli Singapura tetapi merupakan spesies yang bersaing dengan spesies asli.

“Najis burung itu mengotorkan alam sekitar dan mengotorkan pakaian,” menurut agensi itu.

NParks menyatakan ia mengambil pendekatan berasaskan masyarakat dan sains terhadap pengurusan spesies burung invasif.

Ini melibatkan usaha menghapuskan sumber makanan manusia, pengubahsuaian habitat, pengurusan jumlah burung dan kajian untuk memahami ekologi burung perosak seperti corak bertelur dan mencari makan.

“Orang ramai boleh membantu mengurangkan peningkatan jumlah burung merpati dengan tidak memberi makan kepada burung itu dan memastikan sisa makanan dibuang dengan betul,” dedah surat itu.

Agensi-agensi itu menegaskan bahawa memberi makan kepada burung merpati adalah satu kesalahan dan NParks menjalankan penguatkuasaan yang aktif terhadap perbuatan sedemikian.

Baca juga: “Tuala wanita dan sampah merata bilik, Superhost Airbnb ini serik selepas diperdajal wanita cantik”