Lelaki dikehendaki mati selepas ditembak lapan kali di depan restoran

Lelaki dikehendaki mati selepas ditembak lapan kali di depan restoran. Mangsa ditembak dalam jarak 1 meter berhampiran restoran di Jalan Kampung Baru semalam.

Memetik Harian Metro, Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, tembakan jarak dekat itu mengakibatkan mangsa cedera di badan dan muka serta meninggal dunia di lokasi.

Katanya, mangsa berusia 36 tahun dikatakan datang ke restoran itu bersama isteri dan kanak-kanak dipercayai anak angkatnya serta rakan.

Mangsa dikatakan pergi ke kereta miliknya untuk meletakkan makanan yang dibungkus sebelum dihampiri suspek, isteri dan anak angkatnya dikatakan masih berada di dalam restoran ketika itu.

“Siasatan mendapati empat lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh serta berjaket menghampiri dan melepaskan tembakan terhadap mangsa.

“Ketika itu mangsa dikatakan mahu masuk ke dalam kenderaannya dan hasil pemeriksaan, kita menemui lapan kelongsong peluru,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Wan Hassan berkata, semakan lanjut mendapati mangsa adalah individu dikehendaki mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana dipercayai terbabit dalam kumpulan kongsi gelap dan juga pengedaran dadah.

“Bagaimanapun, kita masih menyiasat motif tembakan ini dan siasatan mengenainya secara terperinci dan menyeluruh,” katanya

Polis masih giat mengesan semua suspek terlibat, selain meneliti kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Baca Juga: Pelajar patah gigi selepas cuba selamatkan diri daripada dipeluk lelaki bogel

Baca Juga: Tarikh luput pada makanan ada beza, kena tahu apa maksud guna sebelum dan baik sebelum