Lelaki goyang kaki setelah 10 tahun menganggur tapi ada empat isteri

Lelaki goyang kaki setelah 10 tahun menganggur tapi ada empat isteri yang dikatakan boleh bergaul antara satu sama lain.

Ryuuta Watanabe, 35, yang berasal dari Sapporo, Jepun telah menjadi berita sensasi di negara itu gara-gara gaya hidupnya yang dikatakan ‘tidak konvensional’.

Watanabe dilaporkan tinggal serumah bersama tiga daripada empat orang isterinya, dan juga bergantung sepenuhnya kepada isteri-isterinya untuk keperluan kewangan kerana dirinya sudah menganggur selama 10 tahun.

Kisah hidup berpoligami itu disiarkan dalam siaran berita AbemaTV Jepun iaitu Abema Prime dan ia telah menimbulkan perbualan hangat dalam kalangan masyarakat di sana.

Ini kerana, berpoligami merupakan sesuatu yang dilarang secara rasmi di negara itu. Jadi, untuk memintas undang-undang itu, keempat-empat isterinya mempunyai common-law relationship bersamanya.

Tetapi, mereka mahu mendaftarkan perkahwinan mereka itu dan mahu menceraikan Watanabe, seorang demi seorang bagi mendapatkan nama keluarga ‘Watanabe’ itu. Nama keluarga itu akan diturunkan kepada anak-anak mereka.

“Saya sangat sukakan wanita. Jadi, saya pun berada dalam situasi ini. Pencinta anjing pasti akan bersimpati. Bila anda membesarkan seekor anak anjing, anda mesti mahu menjaga lagi seekor, kan?”

“Saya sukakan wanita dan saya sayangi mereka semua secara sama rata,” katanya kepada AbemaTV.

Penganggur berumur 35 tahun itu tinggal bersama tiga orang isterinya dan mereka semua menduduki sebuah bilik tidur bersama anak masing-masing.

Isteri pertama Watanabe berumur 27 tahun, manakala isteri kedua dan ketiganya masing-masing berumur 24 tahun dan 22 tahun.

Bersama isterinya yang pertama, dia mempunyai dua orang anak yang masing-masing berumur dua dan satu tahun. Manakala bersama isteri kedua pula, dia mempunyai seorang anak berusia lima bulan.

Watanabe tidak menjelaskan mengapa isterinya yang keempat tidak tinggal bersamanya. Tetapi, pasangannya yang lain mengesahkan bahawa terdapat lagi seorang isteri.

“Tiada Masalah Berpoligami” – Watanabe

Menurut keempat-empat isterinya, dari mula lagi mereka tahu bahawa mereka tidak akan menjadi satu-satunya pasangan romantik Watanabe, serta tahu bahawa dirinya itu tidak bekerja. Bagi mereka, itu bukanlah satu masalah.

Isteri-isterinya itu bekerjasama untuk menampung perbelanjaan bulanan keluarga kira-kira 850,000 yen (RM27, 353.86). Watanabe pula ditugaskan untuk melakukan segala kerja-kerja rumah.

Ia merupakan dinamik keluarga yang luar biasa untuk kebanyakan masyarakat Jepun yang mengamalkan dasar patriarki. Tetapi, ia bukannya satu masalah bagi mereka semua.

“Saya rasa tiada masalah dengannya [poligami],” kata Watanabe.

Dia turut memberikan contoh seperti Tokugawa Ienari yang merupakan shogun (istilah pangkat dalam ketenteraan Jepun sekitar 1185-1868) ke-11 dan paling lama berkhidmat dalam era shogun Tokugawa yang mempunyai 53 orang anak.

Dia sempat berseloroh dengan mengatakan bahawa dia mahu mencipta sejarah dengan mempunyai 54 orang anak.

Watanabe menggambarkan keempat-empat isterinya itu seperti, “less than family, but more than friends”. Para isterinya langsung tiada masalah dengan penjelasannya itu.

Sebaliknya, mereka sering mempuji daya tarikan dan kekuatan Watanabe serta sebulat suara menyatakan sokongan mereka terhadapnya ketika di program Abema Prime itu.

Apabila ditanya kepada keluarga berpoligami itu mengenai cara mereka akan menjelaskan hal itu kepada anak-anaknya, Watanabe berkata bahawa mereka akan memikirkannya sendiri.

Manakala salah seorang isterinya pula berkata, mereka akan cuba menjelaskan kepada anak-anak mereka bahawa tidak semua keluarga adalah sama supaya mereka boleh membesar tanpa prasangka.

Baca juga: Rani Mukerji kongsi momen lucu kena paksa usung kerana beku dalam filem Kabhi Alvida Naa Kehna