Lelaki ini tetap tak nak jual akhbar bertarikh 31 Ogos 1957, “ada yang offer ribu..”

Siapa sangka, akhbar atau surat lama yang dianggap seperti bahan terbuang rupa-rupanya boleh membantu menjana pendapatan lumayan kepada pemiliknya.

Itulah kenyataan yang dihadapi oleh pengumpul barang antik dikenali sebagai Jamal Ahmad apabila ditawarkan wang berjumlah RM5,000 daripada pembeli akhbar lama.

Rupanya, surat khabar yang disimpan Jamal itu memiliki nilai sejarah kerana ia merangkumi berita pengisytiharan kemerdekaan negara diterbitkan pada 31 Ogos 1957.

Akhbar lama bertarikh keramat untuk Malaysia itu adalah peninggalan sejarah paling berharga dan tentunya menguntungkan buat Jamal yang juga seorang persara guru.

Perkara itu terbukti apabila ada individu yang berasal dari Perak pernah meluahkan hasratnya untuk membeli akhbar berkenaan dengan harga lumayan iaitu RM5,000.

Jamal bagaimanapun menolak tawarannya kerana menganggap akhbar itu seakan mesin masa yang membawa pembaca kembali ke saat negara meraih kemerdekaan.

Lelaki berusia 58 tahun itu turut memiliki lebih dari 120 peninggalan sejarah berkaitan dengan kemerdekaan negara yang sukar untuk ditemui pada masa kini, lapor Mstar.

“Surat khabar lama ini adalah (peninggalan) sangat berharga, susah nak jumpa dah sekarang. Kalau ada pun di muzium ataupun Arkib Negara,” katanya memetik Mstar.

Pengumpul barang antik itu juga memiliki dokumen pengisytiharan kemerdekaan yang ditulis dalam empat bahasa iaitu Inggeris, Tamil, Jawi dan Bahasa Malaysia roman.

Dokumen tersebut asalnya diedarkan kepada setiap ketua kampung dan pemimpin komuniti sejurus Malaya memperoleh kemerdekaan daripada pemerintahan British.

Jamal yang mula mengumpul barang peninggalan sejarah sejak usianya 18 tahun itu menemukan dokumen dan surat khabar lama berkenaan pada sekitar 30 tahun lalu.

“Pada awal tahun 1990-an, kawan saya yang juga peminat barangan sejarah menghubungi saya. Dia beritahu ada sesuatu yang pasti menarik perhatian saya.

“Saya pun pergi menemuinya di Kuala Lumpur. Dia menunjukkan surat khabar lama dalam bahasa Inggeris yang melaporkan negara kita sudah mencapai kemerdekaan.

“Dia menjual kepada saya surat khabar itu dengan harga RM2,000.” Cerita pesara guru terbabit yang kini menetap di Serkat, Pontian, Johor mengenai bagaimana akhbar tersebut berada dalam simpanannya.

Selain akhbar lama dan dokumen, Jamal juga menyimpan barang-barang antik peninggalan sejarah kemerdekaan negara yang lain seperti cawan dan juga pinggan.

Baca juga: Giliran PM New Zealand datang, pelik makin ramai pemimpin dunia ziarah Malaysia