Bukan satu, sebaliknya seorang lelaki Kenya ini telah berjaya memenangi 26 kes yang dia wakili di hadapan majistret, hakim mahkamah rayuan, dan mahkamah tinggi.
Namun yang amat mengejutkan, kejayaan Brian Mwenda sebagai seorang peguam didasari oleh kelicikannya kerana lelaki itu sebenarnya tidak pernah menerima pendidikan khusus dalam bidang undang-undang.
Dia juga tidak mempunyai tauliah sebagai peguam, walaupun telah lama ‘membela’ anak guamnya.
Rahsia sebenar Mwenda akhirnya terbongkar selepas polis menerima banyak aduan awam yang membawa kepada penahanannya, baru-baru ini.
Menurut laporan Nigerian Tribune yang dikutip oleh NDTV, hakim tidak mencurigai keupayaan Brian Mwenda sebagai ‘peguam’ sehingga dia ditahan.
Pasukan Tindakan Pantas Persatuan Undang-Undang Kenya cawangan Nairobi menahan lelaki tersebut atas alasan pemalsuan, selepas menerima aduan awam.
“Kami ingin memberitahu semua ahli masyarakat dan orang ramai bahawa Brian Mwenda Njagi bukan Peguam Bela Mahkamah Tinggi Kenya. Rekod persatuan menunjukkan dia juga bukan ahli cawangan Nairobi,” kata persatuan itu.
Persatuan Undang-Undang Kenya berkata, Mwenda mengakses portal mereka secara jenayah dan “mengenal pasti akaun dengan nama yang sepadan dengannya serta mengubah butiran maklumat dan memuat naik fotonya dalam usaha untuk mendaftarkan diri dalam profesion guaman Kenya”.
Mereka menambah bahawa selepas mesyuarat tergempar, persatuan mendapati yang Mwenda mencuri identiti seorang peguam yang mempunyai nama sama dengannya iaitu Brian Mwenda Ntwiga.