Lelaki menang RM1.15 juta selepas tanahnya diceroboh DBKL

Siapa sangka, seorang lelaki warga emas akhirnya mendapatkan keadilan ke atas tanah miliknya yang diceroboh selepas 15 tahun berjuang di mahkamah.

Difahamkan, tanah milik warga emas berusia 71 tahun itu mulanya diceroboh oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membina longkang monsun.

Sedangkan, tanah seluas 17,847 kaki persegi (kira-kira empat gelanggang bola keranjang) itu dibelinya pada 6 April 2005 lalu untuk membina beberapa buah banglo.

Plaintif dikenali sebagai R. R. Meyyanathan itu kemudian berulang kali meminta DBKL menempatkan semula struktur longkang tersebut namun langsung tidak diendahkan.

Malangnya, Meyyanathan berterusan mengalami kerugian serta kerosakan tanah akibat kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan pada longkang monsun tersebut.

Oleh yang demikian, plaintif memohon injunksi mandatori untuk mengarahkan DBKL mengalihkan struktur atau membeli sebahagian tanah miliknya pada harga semasa.

Meyyanathan juga menuntut ganti rugi untuk kehilangan dan kerosakkan pada tanah berhampiran Petaling itu, yang difikirkan munasabah oleh mahkamah, lapor New Straits Times.

Defendan bagaimanapun menafikan bahawa pihaknya telah menceroboh tanah milik Meyyanathan dan struktur di tanah miliknya itu bukanlah satu bentuk pencerobohan.

Merayu justifikasi, defendan iaitu DBKL hanya bergantung kepada kuasanya untuk menyelenggara, mengurus, membina dan menambah baik longkang monsun di kawasannya, termasuk tanah plaintif.

Pihaknya mendakwa longkang monsun itu adalah sebahagian daripada saliran dan aliran semula jadi yang wujud di tanah milik plantif sejak tahun 2004 atau lebih awal lagi.

Longkang yang membentuk laluan air itu dikatakan tidak boleh ditutup atau dirobohkan kerana ia akan mengakibatkan banjir kilat, hakisan tanah, atau retak serta mendapan di kawasan itu dan sekitarnya.

DBKL merayu bahawa tindakannya adalah wajar menurut undang-undang dan dasar awam menawarkan imuniti daripada semua liabiliti yang berat dalam melaksanakan tugasnya.

Hakim Roz Mawar Rozain dalam penghakimannya pada bulan lalu menyimpulkan bahawa lokasi longkang itu adalah di dalam tanah plaintif dan beliau tidak bersetuju dengan perkara ini (pencerobohan).

DBKL juga gagal mengemukakan sebarang bukti yang menunjukkan sebaliknya dan juga tiada cabaran mengenai jumlah tanah yang diceroboh oleh longkang monsun.

Malah, pihak defendan juga tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen atau rekod yang menunjukkan longkang monsun itu telah dibina sebelum tahun 2004.

Namun begitu, walaupun tidak dapat dibuktikan bahawa ia adalah longkang monsun utama, ia masih tidak sepatutnya dibuang atau dipindahkan atas kepentingan awam.

“Mahkamah dengan ini memerintahkan defendan membeli bahagian tanah plaintif (2,411 kaki persegi) yang telah diceroboh mengikut harga pasaran semasa.

“Mahkamah juga menganugerahkan ganti rugi kepada plaintif pada kadar RM200 sehari mulai 8 Jan 2008, sehingga tarikh penghakiman ini. 

“Ganti rugi itu akan berjumlah RM200 didarab dengan 5,757 hari iaitu berjumlah RM1,151,400,” katanya memetik laporan New Straits Times.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut memerintahkan kos RM45,000 dibayar oleh defendan kepada plaintif.

Baca juga: Petani Thailand teruja kongsi tips pokok berbuah lebat dan cepat, terkejut tengok bahannya