Seorang lelaki yang dihalang menggunakan motosikal milik ibunya bertindak mengacukan pisau kepada wanita tersebut dan mengugut untuk membunuhnya di rumah mereka di Bandar Perdana, Sungai Petani.
Kejadian yang dikatakan berlaku pada 2 petang kelmarin itu bermula dengan suspek yang berusia 20 tahun yang baru tiba di rumah meminta untuk menggunakan motosikal milik ibunya lapor Harian Metro.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, ibu suspek yang berusia 40 tahun bagaimanapun tidak membenarkannya menggunakan motosikal itu kerana dia baru pulang selepas tiga hari keluar rumah.
“Suspek yang berang secara tiba-tiba mengamuk sebelum mengambil pisau dan mengugut mahu membunuh ibu dan juga adik-beradiknya yang berada dalam rumah.
“Bimbang dengan tindakan anaknya serta keselamatan mereka sekeluarga, wanita terbabit terus menghubungi polis,” katanya.
Tiada rekod jenayah, hanya positif dadah
Menurutnya, anggota unit peronda polis (MPV) yang menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui bilik gerakan bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek.
“Siasatan lanjut mendapati suspek yang bekerja kilang tidak memiliki sebarang rekod jenayah.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Baca Juga: Mahu hukuman gantung disiarkan secara lansung di televisyen, balasan lelaki sembelih rakan
Baca Juga: “Budak sekolah pun reti malu siap tutup muka, tapi cikgu tetap rakam demi content”