Sebuah pesawat ringan untuk tujuan latihan dilaporkan terhempas di kawasan ladang berdekatan Sungkai, Tanjung Malim.
Menerusi rakaman yang tular di media sosial oleh seorang individu bernama Shah Sungkei, dia kebetulan berada di lokasi nahas tersebut ketika terdengar suara seorang wanita meminta tolong.
Dalam rakaman tersebut, sebahagian badan pesawat kelihatan terbenam dalam tanah dengan sebahagiannya patah.
“Ada kapal terbang terhempas. Allahuakbar,” kata lelaki yang merakam nahas itu.
Dia kemudian mendekati pesawat tersebut sebelum terkejut mendengar suara seorang wanita yang menjerit memanggilnya meminta tolong.
Dalam video yang tular selama 15 saat itu, pemandu pesawat tersebut turut merayu untuk menyelamatkan seorang rakannya yang terperangkap di dalam pesawat.
“Tolong, tolong saya boleh ke, terima kasih banyak-banyak, seorang tersangkut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri mengesahkan kejadian itu.
“Setakat ini dua mangsa terlibat dan kedua-duanya selamat,” katanya.
Dua individu yang dilaporkan berada di dalam pesawat jenis Cessna 172 itu adalah jurulatih penerbangan, Kapten Shahrul Imran berusia 30-an dan pelatih, Le Ho Jia berusia 20-an.
Baca: Penyerang dipercayai sasar muka Faisal Halim, ucap ‘Good Luck’ sebelum simbah asid