Lelaki teragung, bapa saudara jadi benteng agar anak saudara tak rebah undang sebak

Lelaki teragung, bapa saudara jadi benteng agar anak saudara tak rebah undang sebak. Lelaki tersebut dilihat berlari, memeluk serta menahan badan anak saudaranya yang hampir tumbang kerana tidak sihat pada hari kejadian.

Kejadian yang mengundang sebak itu berlaku pada Majlis Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Sempena Sambutan Jubli Emas ke-50 dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Maktab Penjara Malaysia lapor Harian Metro.

Dalam video yang tular itu dapat dilihat lelaki terbabit berlari hingga tercabut selipar untuk membantu anak saudaranya yang kelihatan tidak stabil ketika perbarisan.

Pemuda yang mulanya kelihatan biasa itu mula berdiri tegak selepas ditahan bapa saudaranya namun disebabkan keadaan yang lemah, pemuda terbabit pengsan. Bagaimanupun dia tidak mengalami kecederaan dan mendapat rawatan segera selepas itu.

Ketua pemuda UMNO jelas yang berlari itu bapa saudara kepada anggota terbabit

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan penguat kuasa KPDNHEP yang tular itu adalah anak angkatnya yang kini bertugas di Tawau, Sabah, dikenali Nik Mohd Adhar.

Katanya, beliau menghubungi Nik Mohd Adhar untuk bertanya khabar dan dimaklumkan bahawa pemuda itu demam ketika perbarisan pagi tadi.

“Beliau merupakan anak yatim piatu sejak sekolah lagi. Itu sebab kami ambil beliau sebagai salah seorang anak angkat kami sejak beliau di Sekolah Geting Tumpat lagi.

“Dalam gambar yang meluru kepada beliau dan memapahnya untuk bangkit kembali seraya beliau jatuh pitam seketika ketika berkawat ialah bapa saudaranya, Abdul Aziz Ya’acob yang memeliharanya sejak kematian kedua ibu bapa,” katanya.

Baca Juga: 15 tahun bela ayam, petani terkejut jumpa anak ayam ada 4 kaki dan 2 punggung

Baca Juga: Sopan gerakan ‘Mek Kilau’, aksi silat pulut pengantin ini raih perhatian