Lelaki terajang bapa sudah dicekup polis, rupa-rupanya dia…

Oleh Admin 02

Tular video yang merakam perbuatan keji seorang lelaki terajang bapa tirinya di muka, di belakang serta dada di Kampung Ruat, Yan, Kedah, semalam akhirnya dicekup pihak polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa berusia 71 tahun mengalami bengkak di bahagian telinga kiri serta mengadu sakit pada muka dan dada.

Menurut Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan berdasarkan maklumat didapati anak tiri mangsa adalah seorang penagih dadah tegar.

“Suspek juga dilaporkan sering memukul warga emas terbabit sekiranya enggan memberikan duit kepadanya untuk membeli dadah.

“Mangsa yang mengalami sakit di dada dan muka kemudiannya membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di pekarangan rumah pasangan warga emas terbabit,” katanya.

Shahnaz berkata, suspek berusia 29 tahun itu kemudiannya ditahan pada 6.45 petang di kawasan Lubuk Boi, Yan dan siasatan lanjut mengenai kejadian itu sedang dilakukan.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek adalah seorang pesakit mental dan memiliki kad orang kurang upaya (OKU) mental yang disahkan oleh isteri mangsa.

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 2012.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 30 saat di media sosial membabitkan aksi seorang lelaki bertindak memukul dan menendang sebanyak dua kali di dada dan muka bapa tirinya itu sambil disaksikan ibunya.

Aksi tanpa belas ihsan serta di luar kawalan terhadap bapa tirinya itu menyebabkan ibunya meminta orang kampung melaporkan kejadian itu kepada polis.