Majlis perkahwinan di Vietnam menjadi huru-hara apabila bekas teman wanita pengantin lelaki membaling tanah liat ke arah pengantin perempuan.
Laman berita Thaiger melaporkan, seorang wanita menceroboh masuk dan melempar tanah liat ke arah pasangan pengantin itu ketika mereka berjalan di hadapan tetamu.
Wanita itu kemudian meninggalkan tempat kejadian sebelum orang ramai tiba untuk membantu membersihkan pengantin perempuan.
Pengerusi jawatankuasa komuniti tempatan, Chen Ba Huan, mendedahkan bahawa wanita yang melemparkan tanah liat itu adalah bekas teman wanita pengantin lelaki.
Pasangan itu sebelum ini menjalinkan hubungan terlarang dan mempunyai seorang anak bersama namun hubungan itu tidak direstui oleh keluarga lelaki.
Atas dasar itu wanita tersebut berang dan bertindak membuat kacau di majlis perkahwinan bekas kekasihnya itu.
Tambah Chen, pengantin perempuan juga diganggu oleh saudara mara wanita itu dan telah dimasukkan ke hospital. Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.