Lepas pelitup muka, musang king pula dapat sijil sirim. Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) akan mula melaksanakan pensijilan untuk durian Musang King bagi memastikan kualitinya dan menstabilkan harga.
Pengarah Sirim Perak Mohd Adzhar Ahmad berkata Sirim bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Perak dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia untuk membangunkan piawaian akreditasi, yang akan dilaksanakan menjelang akhir tahun.
“Setiap negara mempunyai spesifikasi untuk mengimport produk tertentu.
“Jika durian Musang King diperakui, maka tidak perlu banyak dokumentasi, yang akan mengurangkan birokrasi.
“Pensijilan juga dapat memastikan harga mengikut gred durian dan Musang King tidak akan dijual pada harga yang tidak munasabah,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Penanam Durian Perak di balai raya Taman Meru di sini hari ini.
Pengerusi Persatuan Penanam Durian Perak Nor Hisham Nayan berkata persatuan itu sedang merancang beberapa inisiatif bagi membantu pekebun durian di negeri ini meningkatkan kualiti hasil mereka.
Beliau berkata kursus lanjutan dan biodiversiti akan dianjurkan untuk ahli dengan kerjasama pelbagai agensi.
“Kita akan melantik jawatankuasa di setiap daerah untuk mengenal pasti ahli yang memerlukan bantuan.
“Saya dan jawatankuasa akan memberi nasihat mengenai penanaman durian.”
Persatuan ini mempunyai 500 ahli. — BERNAMA
Baca Juga: Harga ayam dijangka naik RM10 sekilo