Sedih melihat duit yang baru disimpan selepas gaji, keluar bagai air seperti tiada hala tuju.
Namun, bagi ketua keluarga perlulah melunaskan komitmen yang sedia ada seperti perbelanjaan dapur dan juga utiliti rumah.
Menerusi satu video di TikTok, pakar kewangan yang dikenali sebagai Adam Zubir berkongsi tip mudah untuk membuat simpanan bagi mereka yang bergaji.
Tips-tips menyimpan:
1) Aktifkan ‘auto-deduction‘ di bank
Antara cabaran utama dalam menabung adalah menjaga disiplin dan tegas untuk tidak menggunakan wang simpanan ketika anda merasakan keinginan untuk membeli sesuatu.
Dengan mengaktifkan ‘auto-deduction’ atau penolakan secara automatik di bank, duit akan secara langsung disalurkan ke dalam akaun simpanan setiap kali gaji anda masuk tanpa perlu anda terlibat secara aktif.
“Nak aktifkan auto-deduction ni senang je, kita pergi ke mana-mana bank yang menjadi pilihan dan kita boleh minta mereka buatkan.
“Bila kita buat macam ni, setiap bulan gaji masuk, sebahagian duit kita akan terus automatik pergi ke simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) secara konsisten.
“Dengan cara begini, ia menutup ruang kepada kita untuk berbelanja secara boros, sebab kebanyakan kita malas nak keluarkan semula duit tu daripada bank, jadi ia ‘selamat’ daripada dibelanjakan,” jelas Adam.
2) Rekod perbelanjaan anda
Perkara ini dapat dianggap sebagai pengetahuan umum dalam dunia kewangan, namun masih banyak yang malas dan kurang endah dalam mengamalkannya.
“Penting untuk kita tahu ke mana duit kita pergi. Sebagai contoh bulan ni kita nampak duit banyak digunakan untuk makan di restoran mewah, maka bulan depan kita boleh lakukan perubahan,” ujar Adam yang merujuk kepada penjimatan dan seterusnya amalan menabung.
Semoga bermanfaat!
Baca juga: Lebih panjang dari Eiffel Tower, Kapal Icon of the Seas mula berlayar