Lihat beg aneh terapung di laut, rupanya berisi mayat bayi perempuan

Lihat beg aneh terapung di laut, rupanya berisi mayat bayi perempuan. Mayat bayi perempuan masih bertali pusat ditemukan dalam sebuah beg yang terapung di Tanjung Batu, Logpond dekat sini, semalam.

Memetik Harian Metro, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat bayi malang itu pada 4.43 petang, semalam.

“Pengadu mendakwa semasa berjalan dengan tunangnya, mereka melihat sebuah beg berwarna merah jambu terapung di permukaan laut berhampiran jeti di kawasan terbabit.

“Selepas membuka beg itu, pengadu mendapati jasad bayi masih bertali pusat dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Doktor sahkan jantina mayat bayi tersebut ialah perempuan

Jasmin berkata, doktor bertugas mengesahkan mayat terbabit adalah bayi perempuan dengan berat kira-kira 1,004 gram dan panjang 36 sentimeter.

Katanya, polis turut menemui seketul batu seberat 1,249 gram yang dibalut dengan kain batik bersama mayat bayi terbabit dipercayai bertujuan untuk menenggelamkan beg.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes terbabit kerana boleh mengganggu siasatan polis serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, sebarang maklumat berhubung kes itu boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di talian 089-752222 atau mana-mana balai polis.

Baca Juga: Guna pengecas sama untuk setiap peranti, dapat jimatkan RM1.1 billion setahun

Baca Juga: Mesin pertaruhan anak patung dikira judi, dosa besar jika terlibat – Mufti