Lima abang ‘Foodpanda’ didakwa membunuh, pukul dan ikat lelaki hingga mati

Lima penghantar makanan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki yang diikat dan dipukul sehingga video insiden tersebut menjadi viral minggu lalu.

Tertuduh ialah Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri (41 tahun), Azharul Azuan Mohd Azan (34 tahun), Tengku Izham Tengku Hamid (22 tahun), Mahazir Nordin (43 tahun), dan Syamsul Qamar Ayob (40 tahun).

Semua tertuduh mengangguk sebagai tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Mereka didakwa bersama-sama membunuh Shahril Samad (41 tahun) di Jalan TPS 2/3, Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang, pada jam 9.54 malam pada 20 Februari lalu, seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama dengan Seksyen 34 Kanun yang sama, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat sebanyak 12 kali.

Tiada jaminan diberikan, dan mahkamah telah menetapkan 25 April akan datang untuk menerima status forensik, laporan kimia, dan hasil bedah siasat.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian di mana seorang lelaki yang tidak hanya ditarik keluar dari keretanya oleh orang awam selepas kemalangan, malah tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.

Kejadian tragis ini berlaku selepas mangsa, yang mengendalikan kereta jenis Proton Saga, terlibat dalam kemalangan dengan seorang penghantar makanan.

Selepas kemalangan itu, mangsa dikejar oleh orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Video kejadian tersebut turut tular di media sosial sebelum ahli keluarga mangsa menggunakan video itu sebagai bahan bukti untuk menyeret semua pelaku ke pengadilan.

Baca juga: Malas cuma alasan! Wanita ini buktikan idea ‘pack’ bahan masak lebih mudah, tinggal campak je..