Lisa Blackpink manusia paling berpengaruh di Thailand

Anggota kumpulan K-pop Blackpink, Lalisa Manoban, diiktiraf sebagai individu paling berpengaruh di Thailand, seperti yang dilaporkan oleh KBIZBoom.

Pengiktirafan ini berdasarkan keputusan kaji selidik yang dilakukan oleh Universiti Suan Dusit pada 20 hingga 27 Disember tahun lepas, di mana 28.1 peratus daripada responden memilih Lisa sebagai individu paling berpengaruh di Thailand.

Aktivitinya di negara kelahirannya itu juga mendapat liputan luas dalam dan luar negara.

Penyanyi tersebut pernah menyatakan hasratnya untuk menikmati bebola daging dari sebuah gerai di bandar kelahirannya di wilayah Buriram.

Selepas itu kehadiran pelancong ke bandar tersebut meningkat dengan mendadak disebabkan Lisa berkongsi gambar kehadirannya di lokasi tersebut.

Kajian tersebut melibatkan 7,398 responden dan menamakan bekas pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat, berada di tempat kedua dengan 27.5 peratus undi.

Senarai tersebut juga menyenaraikan pelakon dan pengacara Kanchai Kamnerdploy (22.6%), pemimpin Parti Pheu Thai Paetongtarn Shinawatra (12.4%), dan Anntonia Porsild (9.4%), yang merupakan naib juara pertandingan ratu cantik Miss Universe 2023.

Baca juga: Tak sangka barang lama boleh jadi ‘toksin’ jika tak dibuang, ini senarai 9 benda yang wajib anda lupuskan