LPF haramkan filem berunsur LGBTQ, pesong akidah

Mana-mana filem yang mempromosikan gaya hidup LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender, dan kelompok yang mempersoal identiti seksual diri) secara eksplisit atau secara berlebihan dalam kontennya, bergantung kepada keseluruhan jalan cerita, tidak akan diluluskan untuk tayangan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan bahawa badan yang bertanggungjawab menapis dan memberi klasifikasi filem juga tidak akan meluluskan tayangan bagi filem yang mengandungi unsur komunisme, Islamofobia, bertentangan dengan akidah Islam, dan ajaran sesat.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini didapati terdapat peningkatan bagi filem-filem yang memasuki pasaran Malaysia yang mengandungi unsur-unsur bertentangan dengan pegangan dan norma kehidupan masyarakat di negara kita seperti LGBTQ, komunisme, Islamofobia dan bertentangan dengan akidah Islam.

“Dalam konteks ini suka saya memaklumkan, kerajaan Malaysia tidak pernah meratifikasi mana-mana konvensyen antarabangsa berkaitan LGBTQ serta tidak pernah mengiktiraf sebarang gaya hidup LGBTQ,” katanya ketika memberi penerangan menteri berhubung Pemerkasaan LPF selepas tamat sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, dengan kemajuan teknologi digital dalam industri pada masa kini, Lembaga Penapisan Filem (LPF) menghadapi pelbagai cabaran dalam memenuhi harapan dari pelbagai pihak, termasuk penggiat industri filem dan penyiaran, serta dalam mengendalikan tahap penerimaan dan kematangan penonton.

Saifuddin juga memberikan jaminan bahawa LPF akan bersikap terbuka dalam memberikan khidmat nasihat bagi membantu semua pihak memastikan filem yang dihasilkan dapat ditayangkan kepada umum.

“Di satu sisi LPF dilihat terlalu rigid, bahkan dianggap gunting tajam yang menyekat kreativiti penggiat filem tempatan tetapi di satu sisi lain LPF kena mengimbangi dan mempertahankan nilai-nilai baik yang menjadi pegangan kepada masyarakat tempatan,” katanya.

Baca juga: “Semua benda mertua nak masuk campur, aku sampai gugur anak first sebab terlampau stress”