MAGERAN akan tamatkan pemerintahan bercelaru kerajaan PN

Kalau tidak ada angin, masakan pohon bergoyang?

Kalau tiada dapur memasak kari, mana datang aroma mengisi taman perumahan?

Begitulah pepatah Melayu lama dan kiasan masa kini yang disesuaikan dengan keadaan semasa buat masa ini. Berbagai spekulasi sudah mula bertebaran di media arus perdana, apa lagi di media sosial tentang perjumpaan demi perjumpaan di Istana Negara sejak Rabu lalu. Ramai yang ingin tahu ke arah mana negara akan dipandu tuju.

Pemerintahan kelam kabut kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) dikalutkan lagi oleh kenyataan PAS, parti komponen PN yang pertama membantah keras cadangan penubuhan Majlis Gerakan Nasional, atau nama singkatnya MAGERAN, untuk menyelamatkan negara.

Yang tersirat dan tersurat

Bantahan PAS memberi maksud tersirat, namun yang ramai tertanya-tanya apakah sebenarnya yang tersurat itu di sebalik penolakan itu.

Seperti kelazimannya, PAS yang lagaknya tahu dahulu daripada yang lain ini, terus membuka langkah silat untuk menentang MAGERAN.

Berlandaskan kenyataan yang dibuat parti itu, jelas mereka tidak lagi dapat berdiam diri. Apakah PAS seperti sudah ‘demam panas’ sebelum keputusan dibuat? Atau, itu sebenarnya cuma demam kepialu?

Mungkin lebih serius lagi ialah kenyataan terbuka oleh orang kanan di pejabat Perdana Menteri sendiri yang lantang menolak idea MAGERAN ini. Beliau, tidak lain dan tidak bukan, ialah Ketua Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, Marzuki Mohamad.

Kenyataan beliau menolak MAGERAN seolah-olah memberi gambaran atau memberi makna bahawa ia akan ditubuhkan dalam masa terdekat ini.

Kenyataan Marzuki hanya menambahkan lagi persoalan dalam kalangan pemerhati termasuk media. Sebenarnya lebih banyak persoalan dari jawapan yang timbul daripada kenyataan Marzuki.

Psikologi terbalik ini selalu dimainkan oleh ramai ahli-ahli politik tanah air terutamanya yang melibatkan hal-hal agak serius atau isu panas. Ianya satu taktik politik biasa, tetapi jarang difahami orang awam dengan mudah, tentang di mana hujung atau pangkal sesuatu isu.

Tetapi dalam kalangan orang media, kita cukup faham dan ia juga merangkumi gaya politik yang selalu dimainkan oleh pelbagai pihak, malah, kadangkala, ia disengajakan.

Khabar angin

Jadi mungkinkah MAGERAN cuma khabar angin? Atau tidak? Yang pasti, seperti yang diakui oleh Dr Mahathir Mohamad, beliau mencadangkan idea itu kepada Yang di-Pertuan Agong semalam.

MAGERAN yang kita kenal, ‘dicipta’ pada 1969 selepas rusuhan 13 Mei, detik hitam dalam sejarah silam yang agak samar dalam ingatan ramai penduduk negara pada hari ini, khususnya anak-anak muda.

Selepas Perikatan (yang kemudianya bercambah menjadi Barisan Nasional) gagal mendapat majoriti 2/3 di Parlimen dan juga di Dewan Undangan Negeri di Selangor dan Perak, dan kalah di Kelantan dan Pulau Pinang, sedikit ‘rusuhan politik’ telah berlaku.

Dalam menangani krisis yang melanda ketika itu, maka terbentuklah Majlis Gerakan Negara atau National Operations Council (NOC) yang digerakkan oleh pemimpin memerintah ketika itu.

Tunku Abdul Rahman yang menduduki jawatan Perdana Menteri tidak terlibat secara langsung dalam MAGERAN. Timbalannya, Abdul Razak Hussein, dilantik sebagai Ketua Pengarah MAGERAN bersama empat menteri utama ketika itu.

Mereka yang dilantik sebagai ahli Mageran adalah seperti berikut:

Menteri Dalam Negeri – Dr Ismail Abdul Rahman
Menteri Kewangan – Tan Siew Sin
Menteri Kerja Raya, Pos & Telekom – VT Sambanthan
Menteri Penerangan & Penyiaran – Hamzah Abu Samah
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam dan kemudiannya Ketua Setiausaha Negara – Abdul Kadir Shamsuddin
Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia – Osman Jiwa
Ketua Polis Negara – Mohamed Salleh Ismael
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri – Muhammad Ghazali Shafie
MAGERAN secara rasminya bermula pada 17 Mei dan memerintah Malaysia sehingga 22 Februari 1971.

Pada masa yang sama, undang-undang darurat diisytiharkan seperti berlaku pada masa sekarang. Cuma perbezaannya ialah darurat ketika itu ialah untuk mencapai matlamat keselamatan negara, sedangkan, sekarang, ia untuk memerangi wabak Covid-19.

Fakta penting ini mungkin memberi sedikit pencerahan kenapa ada kumpulan yang menolak MAGERAN walaupun ramai lain yang menyokong.

Ada berbagai pendapat dan cara yang sesuai untuk menangani gejala Covid-19 dan memastikan Malaysia bangkit daripada keadaan kucar-kacir sekarang, terutama dari segi ekonomi dan keperluan menjana peluang pekerjaan.

MAGERAN mungkin satu-satunya jalan keluar untuk memulihkan negara tanpa terjebak dalam politik kepartian yang ada sekarang.

Ianya dilihat jentera untuk menyelamatkan negara semata-mata, satu ‘modus operandi’ sementara sehingga negara benar-benar selamat dari bahaya Covid-19. Selepas itu, bolehlah diadakan pilihan raya umum.

Pokoknya, sejauh mana “kebenaran” hujah yang dibawa oleh pihak yang menolak cadangan MAGERAN ini, termasuk pegawai kanan perdana menteri sendiri.

Apakah penolakan Marzuki itu, mahupun PAS, lebih kerana mereka masih mahu berpaut kepada politik kepartian demi “survival” diri?

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2021/06/11/mageran-bakal-menamatkan-pemerintahan-kelam-kabut-pn/