Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengambil tindakan undang-undang terhadap AirAsia X Bhd (AAX) untuk menuntut RM78.16 juta caj tertunggak penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengendali lapangan terbang itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB), memfailkan writ saman dan penyata tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap syarikat penerbangan itu.
“Caj tertunggak penerbangan itu terdiri daripada caj perkhidmatan penumpang, caj perkhidmatan keselamatan penumpang, caj ‘aerobridge’, caj parkir pesawat, caj kaunter daftar masuk, caj pendaratan dan caj bayaran lewat,” kata MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Sebagai sebahagian daripada tuntutan itu, MASSB juga meminta perintah bagi hak memegang harta berterusan dan berkontraknya ke atas harta pengguna AAX di KLIA dan hanya akan dilunaskan apabila dijelaskan sepenuhnya syarikat penerbangan itu daripada jumlah keseluruhan hutang.
MAHB menjelaskan, harta pengguna itu termasuk mana-mana pesawat, peralatan, aksesori, kenderaan, kelengkapan dan/atau sebarang harta lain milik dan/atau di bawah kawalan AAX atau mana-mana pengendali darat yang dilantik oleh syarikat penerbangan itu. – BERNAMA