Mahkamah arah Lokman Adam padam hantaran fitnah Ketua Hakim di FB

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, hari ini berjaya mendapatkan perintah injunksi sebelah pihak (ex-parte) bagi menghalang Datuk Lokman Noor Adam daripada terus menyiarkan beberapa hantaran dan kenyataan dimuat naik di media sosial yang didakwa memfitnahnya.

Memetik Bharian, Kenyataan yang didakwa Mohd Na’im memfitnahnya itu dimuat naik melalui dua hantaran di YouTube dan empat hantaran, termasuk dua hantaran video di laman Facebook berhubung gangguan seksual terhadap beberapa wanita.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd Na’im ketika dihubungi media berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Rozana Ali Yusoff, membenarkan permohonan injunksi sebelah pihak dengan memerintahkan Lokman memadam semua hantaran dan kenyataan itu dalam tempoh 24 jam dari tarikh perintah diserahkan kepadanya.

Akberdin berkata, mahkamah membenarkan perintah injunksi menghalang Lokman atau ejen, wakil dan sesiapa sahaja daripada menerbitkan, menyiarkan, berkongsi, menerbitkan semula serta menyiarkan semula hantaran dan kenyataan fitnah berkenaan.

Melalui prosiding secara Zoom itu, mahkamah menetapkan 7 Februari ini bagi pendengaran injunksi kedua-dua belah pihak (inter-parte).

Pada 17 Januari lalu, Mohd Na’im yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah, memfailkan saman terhadap Lokman dengan mendakwa defendan memfitnahnya melalui dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Januari dan 13 Januari lalu.

Mohd Na’im yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman turut memuat naik siaran langsung itu di YouTube milik defendan pada 10 Januari dan 14 Januari lalu, selain memuat naik tiga hantaran fitnah di Facebook pada 11 Januari dan 13 Januari lalu.

Plaintif berkata, kenyataan fitnah itu bermaksud antaranya beliau seorang penunggang agama dan gagal menjadi pemimpin berwibawa dengan akhlak yang terpuji serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

Mohd Na’im sudah membuat laporan polis pada 12 Disember tahun lalu untuk menafikan dakwaan dan tuduhan palsu seorang wanita bergelar Datin dan membuat laporan polis terhadap Lokman supaya disiasat serta diambil tindakan.

Mohd Na’im dengan itu memohon antaranya perintah injunksi supaya defendan memadam video dan hantaran berkenaan serta menghalangnya daripada menerbitkan semula hantaran itu terbabit.

Beliau turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.