Mahu biayai bisnes pokok ganja, pelajar universiti sanggup rompak kedai emas

Selepas Thailand membenarkan rakyatnya menanam pokok ganja, nampaknya ada yang mahu terjun dalam bisnes berkaitan tumbuhan yang dikeluarkan daripada senarai narkotik terlarang itu.

Seorang pelajar universiti sanggup merompak aksesori emas bernilai 150,000 baht (RM18,456) di sebuah kedai emas di wilayah Isaan di Thailand atas alasan mahu membiayai perniagaan pokok ganja.

Pelajar tempang yang berusia 24 tahun itu menggunakan pistol palsu di kedai emas di daerah Thesaban, Nakhon Ratchasima pada 27 Julai lalu.

Sebanyak lima utas rantai leher emas seberat kira-kira 75 gram dilarikannya yang ketika itu memakai jaket hitam dan topi keledar.

Pornthep menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilihat sedang berjalan masuk ke dalam kedai emas itu sebelum mengeluarkan senjata api.

“Dia mengeluarkan sepucuk pistol dan mengugut pekerja kedai sebelum mereka memasukkan rantai emas ke dalam beg dan menyerahkan kepadanya.

“Perompak itu kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diparkir di luar premis berkenaan sebelum meninggalkan motosikal itu di tepi jalan di kawasan hutan,” lapor thethaiger.com dipetik Utusan Online.

Suspek yang mengaku motif disebalik rompakan itu bagi membolehkannya melabur dalam perniagaan pokok ganja akhirnya ditahan di sebuah asrama dekat universiti terkenal di Nakhon Ratchasima.

Polis kemudiannya memulangkan rantai emas kepada kedai itu tetapi pertuduhan ke atas pelajar tersebut masih belum diputuskan.

Baca juga Tidak serik ditahan polis, warga emas tabur duit hasil mengemis kepada penyanyi dangdut

Baca juga Industri kanabis dan ketum: Ganja untuk perubatan boleh tapi perlu kawalan ketat, elak disalahguna