Pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid mengakui belum bersedia untuk menjelaskan statusnya bersama isteri, Rosmawati Hanafi atau Mel berikutan dakwaan rumahtangga yang dibina sedang bergolak.
Namun, Hisyam turut meminta doa orang ramai agar perkahwinan yang dibinanya bersama Mel sejak 2006 kekal utuh dan sentiasa dalam keadaan baik.
“Mungkin dalam setiap perkahwinan ada masalah dihadapi dan ada pasang surutnya. Saya tak tahu bagaimana hendak jawab dan ulas mengenai perkara ini (status rumah tangga).
“Mungkin bila tiba masa sesuai dan sudah bersedia, saya akan cakap. Untuk bercakap mengenai perkara ini, banyak faktor yang perlu diambil kira.
“Saya perlu jaga hati anak-anak, jadi saya masih berfikir,” katanya ditemui pada majlis rumah terbuka dan sambutan ulang tahun ke-25 rumah produksi, Global Station di Kemensah Heights, di sini, semalam.
Mengulas lanjut hubungannya bersama isteri, Hisyam turut akui mereka masih dalam keadaan baik dan berkomunikasi terutama soal kerjaya.
“Sebenarnya kami sampai sekarang okay. Hari Raya baru-baru ini kami masih keluar bersama anak-anak. Dia juga masih mengurus kerjaya saya. Tapi untuk komen mengenai status, saya masih belum bersedia.
“Sebenarnya perkara ini sudah lama. Siapa yang perasan itu, perasanlah,” kata pelakon kelahiran Singapura ini.
Dia turut mengakui perlu memperjelaskan keadaan walaupun berkaitan dengan hal peribadi kerana ia asam garam sebuah perjalanan anak seni.
“Saya faham saya seorang selebriti, jadi orang hendak tahu mengenai hal peribadi. Kalau jika saya orang awam, mungkin tak ada yang kisah. Saya faham ada peminat yang sering bertanya, malah ramai juga sering mendoakan kami.
“Apa yang saya boleh cakap, hubungan kami baik-baik sahaja. Cuma ada beberapa perkara agak peribadi dan saya tak boleh berkongsi,” katanya.
Baca juga: “Umat Islam wajib keluar mengundi”- Hadi Awang