Main Atas Katil Sebelah Tingkap, Bayi 11 Bulan Maut Jatuh Tingkat 3

Di Jalan Aman Putra, Kuala Lumpur, seorang bayi berusia 11 bulan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga kediaman keluarganya. Insiden itu dipercayai apabila bayi berkenaan bermain bersama-sama abang dan kakak di atas sebuah katil bersebelahan tingkap di bilik tidur utama.

Memetik laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Sentul iaitu Asisten Komisioner Beh Eng Lai telah menerima laporan kemalangan tersebut sekitar jam 6.00 petang sebelum pasukan polis dari Balai Polis Jinjang bergegas ke lokasi kejadian.

Siasatan mendapati mangsa dikatakan sedang bermain bersama abang, kakak dan sepupunya di atas katil bahagian atas bersebelahan dengan tingkap yang berada dalam bilik pertama rumah sebelum terjatuh dari tingkap kira-kira jam 3 petang.

Katil berkenaan dirapatkan ke bahagian tingkap untuk mengemas bilik terbabit. Siasatan mendapati tingkap di dalam bilik itu tidak mempunyai jeriji dan katil diletakkan berdekatan tanpa sebarang halangan.

Ketua Polis Daerah Sentul melakukan siasatan lanjut dan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kematian melibatkan bayi berusia 11 bulan itu. Bayi tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi dan kes ini telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ibu bayi membawa mangsa ke Hospital Selayang (HS) untuk mendapatkan rawatan dan apabila tiba di Unit Kecemasan Hospital Selayang, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan.

Mayat kemudian dirujuk ke Unit Forensik HS untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

sumber : https://ohbulan.com/main-atas-katil-sebelah-tingkap-bayi-11-bulan-maut-jatuh-tingkat-3