Majlis jadi kecoh, Idris Haron tetap hadir mesyuarat Umno walaupun dah dibuang

Berita ini diambil dari Portal Malaysiakini

Adun Sungai Udang Idris Haron yang dipecat Umno kerana peranannya dalam menjatuhkan kerajaan Umno-Bersatu di Melaka didakwa mencetuskan kekecohan selepas dia dikatakan hadir mesyuarat Umno Cawangan Klebang Kechil.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menempelak Idris atas tindakannya itu

Ahmad berkata Idris sedar dirinya telah dipecat daripada Umno dengan surat pemecatan yang dikeluarkan pada 5 Oktober.

“Kenapa orang yang dah bukan ahli nak datang mesyuarat Umno ini,” soalnya.

“Itu sesuatu yang pelik, tapi benar berlaku pada Datuk Seri Idris Haron.. Apa yang nak disesali lagi?

“Kalau nak ceramah, ceramah la tempat lain, jangan ganggu mesyuarat Umno,” kata Ahmad Maslan lapor Astro Awani.

Pun begitu, Idris menafikan dia menjadi tamu tidak diundang dan ‘mencetuskan ketegangan’ pada mesyuarat Umno di Melaka itu.

Menurut Idris, halaman kediamannya sangat dekat dengan majlis mesyuarat Umno itu yang disifatkannya sebagai ‘berkongsi halaman.’

“Semasa saya berborak dengan ibu saya, mereka (ahli Umno cawangan) yang berkumpul untuk mesyuarat Umno cawangan buat bising.

“Saya pergi ke halaman rumah itu dan meminta mereka senyap sedikit kerana terlalu bising sedangkan saya sedang berborak dengan ibu saya tetapi mereka degil,” katanya dipetik Berita Harian.

Idris berkata dia mengambil peluang memberikan penjelasan kepada ahli Umno mengenai situasi politik semasa di Melaka.

Dia turut meminta ahli Umno cawangan itu membawa usul tiga pemimpin parti disingkirkan kerana didakwa “menyebabkan banyak kerosakan kepada Umno.”

“Selepas meminta mereka membawa usul itu, saya pun balik, tak ada pun saya buat kacau-bilau,” katanya.

Idris bersama tiga Adun telah menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Tindakan itu menyebabkan Sulaiman kehilangan majoritinya di DUN. Idris berharap dapat membentuk kerajaan baru dengan sokongan dari Adun Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, Sulaiman memohon pembubaran DUN, membuka laluan kepada pilihan raya baru pada 20 Nov.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/596566

COMMENTS