Mak ayah tergamak pecahkan telur di dahi anak untuk viral, trend baharu dikecam pakar

Trend terkini yang viral di laman sosial TikTok, ‘eggprank’ dilihat dikecam hebat oleh pakar mahupun netizen.

Sebahagian besar video yang menggunakan tanda pagar #eggprank menunjukkan ibu bapa bersama anak kecil di dalam dapur, yang “bermain-main” dengan telur mentah.

Dalam video tersebut, telur mentah dipukul pada kepala anak, berbeza dengan cara sebelum ini telur itu dimasukkan terus ke dalam mangkuk atau kuali.

Ada sesetengah kanak-kanak yang terkejut akan mula membaling telur semula kepada ibu bapa mereka, namun ada juga yang menangis.

Menurut NBC, video dengan tanda pagar itu ditonton lebih 670 juta setakat Selasa, dan setengahnya mencatat enam juta tontonan setiap satu.

Dr. Meghan Martin, Penasihat Perubatan Kecemasan Paediatrik di Hospital Kanak-Kanak Johns Hopkins, Florida, yang mempunyai 1.3 juta pengikut di TikTok, menjelaskan bahawa cabaran tersebut tidak memberikan manfaat kepada kanak-kanak dan merupakan hiburan yang tidak perlu.

“Kita secara tidak langsung ‘memecahkan’ (kuman) salmonella pada dahi anak.

“Amat susah untuk memastikan kanak-kanak kecil mengambil ubat cecair apabila mereka sakit perut atau keracunan makanan, jadi mereka ini lebih berkemungkinan dimasuk ke hospital untuk cecair IV,” katanya.

Amanda Mathers, seorang ahli terapi paediatrik yang mencuba cabaran tersebut sendiri, menggambarkan tindakan memecahkan telur di kepala sebagai sesuatu yang sukar dilakukan.

“Saya terkejut, hampir mengalir air mata hanya untuk cuba memecahkan telur di kepala,” katanya.

Baca juga: Dua kali disambar petir, lelaki ini dianggap bertuah kerana masih hidup