Makan dengan nasi panas-panas ‘confirm’ menambah, tak susah pun buat perkasam daging ini rupanya

Makan dengan nasi panas-panas ‘confirm’ menambah. Jarang orang buat perkasam daging bagaimanapun cara buat taklah susah mana pun.

Selalunya kita kerap makan ikan pekasam je. Sebab banyak dijual di kedai runcit. Sekarang ni makin banyak orang buat pekasam daging pula yang ternyata sedap juga rasanya.

Dalam ramuan daging pekasam ni sudah tentu ada bahan yang buatkan rasanya masam iaitu asam keping dan juga garam yang banyak. Dan satu lagi bahan yang amat berperanan di dalamnya ialah beras goreng.

Beras ni yang akan berikan elemen rangup bila digoreng dan dimakan dengan nasi nanti. Tambah pula kalau gorengkannya dengan minyak yang lebih dan dicampur dengan bawang besar dan cili padi.

Kalau anda nak buat pekasam daging sendiri, boleh ikut resepi yang dikongsikan oleh Norsharmiza Ashikin ni. Mudah je. Hanya perlukan 4 bahan.

Resepi ni sesuai untuk 800 gram daging. Daging ni pula sebaiknya dipotong nipis-nipis supaya rasa masam garam dan asam keping mudah meresap dengan sempurna dalam daging.

Bahan-bahan yang diperlukan:

1-Daging 800 gram dipotong nipis (tapi janganlah terlalu nipis. Boleh agak-agak)
2-Asam keping 1 genggam (siap dibasuh)
3-Garam bukit 4 sudu makan @ agak-agak dalam ½ kilo (garam bukit ni tak terlalu masin sangat)
4-Beras 1 ½ cawan

Cara buat pekasam daging:

1.Selepas dah potong daging nipis-nipis sederhana, bilaskannya. Kemudian masukkan dalam mangkuk atau bekas.
2.Masukkan juga garam dan asam keping. Gaulkannya sekata.
3-Sangai (goreng tanpa minyak) beras sampai warnanya keperangan. Pastikan beras dah siap dibasuh dan ditoskan, lepas tu boleh terus sangai.
4.Kemudian kisar beras yang disangai tadi pakai blender kering.
5.Beras ni lagi sedap kalau kisar tak berapa hancur sebab nanti masa goreng akan lebih rangup dan bertambah sedap dimakan dengan nasi. Namun, terpulang pada selera masing-masing.
6.Masukkan beras yang dah dikisar ke dalam bekas berisi daging tadi. Gaulkan sebati.
7.Pastikan gaul beras sampai betul-betul bersalut pada daging.
8.Kemudian masukkan dalam bekas bertutup.
9.Simpan dalam peti ais. Dah siap.


Lepas 3-4 hari dah boleh goreng untuk dijamah dengan nasi.

Nak gorengnya mudah je. Masukkan je daging dan beras-beras sekali ke dalam minyak yang panas bersama dengan bawang besar hiris dan cili padi. Goreng sampai garing dan rangup.

Bila dan goreng dengan bawang tu, memang cukup sedap dan menyelerakan. Lepas goreng, jangan tapis minyaknya. Minyak tu pun sedap dimakan sekali dengan nasi.

Jangan risau kalau daging tu tak direbus. Sebab garam yang digaulkan pada daging dah buatkannya kecut sepanjang berada dalam peti ais. Lepas ni bolehlah buat daging pekasam sendiri! Selamat mencuba.

Baca juga: Ini plastik sampah paling mahal di dunia, harganya memang tak boleh bawa bincang, RM8,000 satu beg