Makin kerap masuk IJN, Mahathir harap dapat pulih semula dan dibenar pulang ke rumah

Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat makin kerap menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Terbaharu menerusi hantaran di Facebook beliau malam tadi, bekas Perdana Menteri itu berharap dalam masa terdekat dapatlah pulih semula seperti biasa dan dibenar pulang ke rumah.

“Setakat ini, adakala saya dibenarkan pulang sekejap oleh pakar di sini, tapi tetap perlu bermalam di IJN,” kata bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.

Dalam masa sama, Mahathir dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada semua umat Islam.

“Alhamdulillah, dapat kita bertemu dan diberi peluang melakukan ibadah dan amalan sempena bulan yang amat istimewa bagi umat Islam.

“Saya ingin ambil peluang ini untuk ucap terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan saya serta Hasmah, dan kesejahteraan kami berdua,” ujarnya.

Tokoh pemimpin yang bakal menjejak usia 99 tahun pada 10 Julai itu menjalani rawatan di IJN akibat daripada jangkitan yang dialami sejak Januari lalu.

Bagaimanapun, Mahathir berkata, keadaan kesihatannya semakin pulih berkat doa yang diberikan serta usaha gigih para doktor, jururawat, serta kakitangan di IJN.

Tahun lalu, Mahathir antara lain dilapor menjalani pemeriksaan kesihatan selama empat hari di IJN sebelum dibenarkan keluar pada 4 Ogos 2023.

Pada Januari 2022 pula, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu pernah dimasukkan ke IJN selama 16 hari untuk menjalani prosedur perubatan.

Pada 16 Disember 2021, Mahathir dilapor dimasukkan ke hospital sama dan dibenarkan keluar hospital pada 23 Disember.

Mahathir yang juga bekas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pernah mengalami serangan jantung ringan pada 2006.

Pada 2018, beliau dirawat di IJN dan pernah dimasukkan ke tempat sama pada 2016 untuk rawatan dan pemerhatian.

Beliau juga telah menjalani dua pembedahan pintasan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 1989 dan kali kedua di IJN pada 2007.

BACA JUGA “Menantu perli kenapa nak buat umrah banyak kali, tersentap sebab kami tak mintak duit dia”